Novel Tengku Menteri = Nilai

  • Novel : Sejarah Tengku Menteri
  • Karya : Dr. Talib bin Samat
    • Tajuk tugasan : Nilai-nilai yang terdapat dalam novel “Sejarah Tengku Menteri” karya Dr. Talib Samat
    • Oleh : Yati Yula (Prosa Melayu Moden)

——————————————————————————————

1.0 PENGENALAN

Definisi Nilai

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, nilai membawa maksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai juga turut didefinisikan sebagai sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan, dan lain-lain).

(Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga 1994 : m/s 930)

Konsep Nilai Dalam Novel

Nilai merupakan salah satu aspek terpenting yang diungkapkan oleh pengarang dalam sesebuah karya kesusasteraan terutamanya novel. Nilai merupakan sifat ketinggian sama ada pemikiran, agama, kemasyarakat dan sebagainya yang terdapat dalam sesebuah karya. Biasanya nilai diolah berdasarkan sesuatu motif tertentu yang terdiri daripada objek, peristiwa kejadian dan sebagainya.

Nilai biasanya dapat dikesan dari novel mula dibaca sehinggalah ke akhirnya. Terdapat pelbagai nilai yang dihasilkan sama ada melalui :

a) Perwatakan watak-watak dalam sesebuah cerita

b) Peristiwa, kisah, suasana dan unsur-unsur lain.

c) Persoalan-persoalan yang disungguhkan dan kemudian mendapatkan pokok persoalannya secara keseluruhan

d) Plot cerita

(Diperoleh pada September 10, 2008 daripada laman web Forum EKPKM: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358)

Terdapat pelbagai nilai-nilai yang terkandung dalam sesebuah karya sastera sama ada nilai positif mahupun nilai negatif. Di antara nilai yang selalu digunakan dalam menghasilkan sesebuah karya kesusasteraan adalah seperti nilai kemanusiaan, nilai kemasyarakatan, nilai kebudayaan, nilai keagamaan, nilai sosial dan nilai moral.

(Diperoleh pada September 11, 2008 daripada laman web Forum Schools: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20-%20unsur%20sastera.htm)

Nilai yang terdapat dalam sesebuah novel dapat memberikan penghayatan yang lebih kepada para pembaca kerana kebanyakkan nilai yang diterapkan dalam sesebuah karya merupakan nilai yang terdapat di sekeliling masyarakat pada hari ini.

2.0 NOVEL TENGKU MENTERI

Sinopsis Novel Tengku Menteri

Novel Tengku Menteri: Kisah Tokoh Korporat Bijih Timah Melayu Terulung Long Jaafar dan Ngah Ibrahim (Pengasas Taiping Bandar Warisan 1790-an Hingga 1895) mengisahkan kegigihan dan perjuangan korporat Melayu yang muncul pada abad kesembilan belas iaitu Long Jaafar (bapa) dan Ngah Ibrahim (anak) di daerah Larut Matang, Perak.

Perjuangan Long Jaafar sebagai korporat dan pelomong bijihtimah di daerah Larut bermula selepas kepulangannya dari Singapura bersama rakannya, Ali Osman yang sama-sama gagal untuk mencuba penghidupan di Singapura. Long Jaafar memulakan lombong bijihnya di Larut selepas seekor gajah peliharaannya yang bernama ”Larut” terlepas lari dalam hutan dan sewaktu dicari gajah itu sedang berkubang di sebuah kawasan hutan berpaya. Secara tidak langsung gajah ini telah mendedahkan kepada tuannya, Long Jaafar mengenai kawasan perlombongan bijih timah yang kaya di Kelian Pauh.

Perjuangan gigih Long Jaafar membangunkan daerah Larut mendapat pengiktirafan daripada Sultan Perak hingga mengurniakan daerah Larut untuk ditadbir dan dimajukan. Tokoh korporat Long Jaafar berusaha membina harta kekayaaan dan kegiatan ekonomi yang memungkinkan beliau menggunakan khidmat bank perdagangan di Pulau Pinang pada abad ke-19 sewaktu orang Melayu lain belum melakukannya.

Setelah tokoh korporat Long Jaafar meninggal dunia, urusan pentadbiran harta bendanya termasuk lombong bijih timah, ladang tebu, ladang kopi dan sebagainya diserahkan kepada anaknya, Ngah Ibrahim yang masih muda pada ketika itu. Semasa zaman Ngah Ibrahim mentadbir Larut, berlaku pelbagai konflik dan cabaran yang menguji kewibawaannya seperti :

a) Peperangan Larut – menjejaskan kegiatan perlombongan dan kegiatan ekonomi yang lain, mengorbankan ribuan pelombong dan pejuang-pejuang Melayu dan berlakunya perebutan kuasa di antara para pembesar Perak.

b) Perjanjian Pangkor – Pihak Inggeris tidak menyenangi Ngah Ibrahim dan para pembesar Perak berunding untuk membunuh Residen Inggeris yang pertama iaitu J.W.W Birch dan mengusir penjajah Inggeris dari negeri Perak.

c) Hukuman – Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah, Laksamana Wan Mohd Amin serta Syahbandar Uda Mahamor. Rumah besar Ngah Ibrahim di Matang, masjid, lombong bijih timah, ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang serta ladang kopi di Assam Kumbang telah dirampas. Beliau yang ditahan dalam buangan di Pulau Seychelles hidup menderita dan terseksa zahir batin dan telah beberapa kali mohon dibebaskan tanpa syarat tetapi tidak dihiraukan oleh penjajah Inggeris. Sewaktu dirinya semakin uzur dan hampir buta, beliau dibawa balik dan dipaksa tinggal di Singapura hingga beliau meninggal dunia pada 1895.

Biodata Penulis

Dr. Talib Samat dilahirkan pada 13 Mac di Batu Pahat, Johor Darul Takzim tetapi dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Ulu Tiram. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan sekolah menengah di Majidi Baru, Johor Bahru. Selanjutnya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Ph.D secara jarak jauh. Kemudian beliau meneruskan Ph.Dnya secara sepenuh masa mulai Ogos sehingga Disember 2004.

Bidang penulisan beliau meliputi semua genre penulisan sama ada cerpen, esei, novel, drama, puisi, rencana, buku ilmiah, buku agama, dan sebagainya. Pernah memenangi hadiah dalam sayembara puisi, esei, novel remaja, dan ulasan buku. Antara buku ilmiah yang memenangi hadiah ialah ialah Gaya Kewartawanan Baru: Dimensi Kewartawanan dan Kesusasteraan (1998), Perbandingan Naratif Melayu Tradisional, Naratif Islam dan Naratif Barat (2000), dan novel remaja pula berjudul Panas Salju (1994), kemudian novel ini telah dijadikan teks komponen sastera bagi negeri Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Selangor dan Perlis.

Kini, beliau bertugas sebagai Pensyarah Kesusasteraan Melayu Moden di Jabatan Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Menetap di Tanjung Malim. Sewaktu bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka banyak mendedahkan beliau kepada dunia penerbitan, penulisan, keilmuan, penyelidikan dan pengembangan bidang kesusasteraan yang sudah sebati dengan dirinya.

3.0 NILAI

Nilai-Nilai Positif Dalam Novel Tengku Menteri

Terdapat pelbagai nilai-nilai positif dalam Novel Tengku Menteri karya Dr. Talib Samat yang banyak memberikan kesan yang mendalam bagi novel tersebut. Diantara nilai-nilai positif yang dapat dikesan adalah seperti nilai sejarah, nilai kegigihan, nilai kasih sayang, nilai pengorbanan, nilai kekayaan dengan hasil perniagaan, nilai setia kawan, nilai tolong-menolong, nilai bekerjasama, nilai bersatu padu, nilai taat perintah agama, nilai baik hati, nilai simpati dan nilai saling menasihati.

a) Nilai Sejarah

Nilai sejarah yang terdapat dalam novel ini adalah tentang sejarah kehidupan tokoh. Nilai sejarah ini dapat memberikan pengertian dan pemahaman kepada para pembaca. Novel ini memperlihatkan tokoh ini sebagai tokoh korporat Melayu yang terulung pada abad ke-17 dan abad ke-18 di Tanah Melayu. Terutamanya tentang nilai sejarah ketokohan. Dapat dilihat cara hidup seseorang tokoh tersebut sehingga mereka disegani dan dihormati oleh masyarakat setempat.

Contoh:

Long Jaafar berasa gembira kerana apa yang dihajatinya selama ini mulai menjadi kenyataaan. Keuntungannya daripada kerja-kerja melombong bijih timah yang mendatangkan hasil berlipat ganda hingga Long Jaafar menjadi kaya-raya tanpa disangka-sangka. Kekayaan bijih timah yang diperolehnya itu mendorongnya memperluaskan perniagaannya. Dia tidak mahu terbatas kepada melombong bijih timah semata-mata.

(Tengku Menteri, 2003:169)

Meskipun masih terdapat aspek sejarah seperti ketepatan tarikh, latar tempat, watak namun huraian yang panjang lebar menjelaskan semua secara tersurat tentang watak Ngah Ibrahim sejak kecil, remaja, dewasa dan kematiannya.

Contoh:

Ngah Ibrahim diakad nikahkan dengan Toh Puan Halimah anak Laksamana Wan Muhammad Amin dalam suatu majlis perkahwinan yang gilang gemilang dan mengikut lunas-lunas Islam yang maha suci. Long Jaafar dan isterinya Ngah Pura menyambut kedatangan anak menantunya, Toh Puan Halimah dengan begitu ceria sekali. Terkabullah hajatnya untuk mengahwinkan Ngah Ibrahim sebelum menutup mata dan meninggalkan dunia yang fana ini.

(Tengku Menteri, 2003:209)

Selain itu, banyak rahsia peribadi Ngah Ibrahim dijelaskan seperti aspek dalaman, sikap, ketegasan, rajin, gigih, penyayang serta suka beramal.

Contoh:

”Sememangnya ada dalam fikiran saya untuk membina sebuah masjid baharu yang boleh digunakan oleh semua penduduk Matang atau kawasan-kawasan sekitarnya. Di Larut juga akan dibina masjid baharu, sekolah atau pusat-pusat fardu ain dan kifayah. Saya juga sedang memikirkan untuk membina lebih banyak pusat fardu ain dan kifayah di semua tempat untuk memberi pendidikan yang lebih luas kepada semua orang,” hurai Ngah Ibrahim tenang.

(Tengku Menteri, 2003:262)

Malahan tokoh ini amat menghargai kehidupan para pekerjanya dan sanggup turun padang melihat masalah dan cara hidup pekerja lombong dan petani yang mengerjakan ladang dan lombongnya. Justeru tokoh ini dihormati dan disanjung oleh masyarakat setempat dan pekerjanya.

Contoh:

Ngah Ibrahim cukup menyedari betapa para pekerja adalah nadi kepada hidup matinya ladang-ladang tebu atau kopinya. Itulah sebabnya dia terpanggil untuk menjenguk sendiri kehidupan golongan bawahan dan pekerja yang banyak membantu menaikkan taraf ekonomi kaum keluarganya sejak zaman Long Jaafar lagi hingga sekarang. Dia terkesima melihat kegigihan para pekerja ladang tebu itu, semata-mata menunaikan tanggungjawab dan amanah mereka kepadanya.

(Tengku Menteri, 2003:276)

b) Nilai Kegigihan

Nilai kegigihan dapat dilihat melalui watak utama dalam novel Tengku Menteri hanya dinyatakan melalui kekayaan yang diperoleh oleh Ngah Ibrahim. Sebelum itu, ayahnya Long Jaafar telah mengorak langkah dengan melibatkan diri dalam perlombongan bijih timah di Bukit Gantang. Sikap gigih ayahnya yang membawa masuk pelombong cina dari Pulau Pinang telah membantu menjayakan perniagaan lombong Long Jaafar dan dalam masa yang sama turut membuka ladang pertanian telah membantu kekayaan yang tidak terhingga. Keluarga Melayu ini akhirnya menjadi jutawan. Ini seterusnya diwarisi oleh Ngah Ibrahim yang cuba untuk menambahkan lagi kekayaan keluarga Melayu itu.

Melalui novel Tengku Menteri, nilai kegigihan didedahkan dengan cerita tokoh Long Jaafar dan anaknya Ngah Ibrahim yang gigih untuk memajukan diri serta perniagaan mereka. Long Jaafar digambarkan dengan jelas sikap kegigihannya sebelum berkahwin telah ke negeri Johor untuk mencari peluang pekerjaan, malangnya tidak berjaya tetapi hanya melihat sikap penjajah di negeri Johor serta pentadbiran Johor di bawah Temenggung Ibrahim. Selepas berkahwin, Long Jaafar mula mendapat peluang untuk mengusahakan lombong bijih dari sebuah menjadi begitu luas mata memandang. Contohnya dialog pertemuan Long Jaafar dengan Datuk Panglima Bukit Gantang Alang Idin.

Contoh:

”Kedatangan saya hari ini ialah untuk membayar wang pajaka sebanyak $125.00 setahun untuk tahun ini kerana mentadbir daerah Larut. Datuk pun tahu daerah Larut ini dulunya di bawah pengawasan datuk. Sekarang saya pula yang menguruskannya,” kata Long Jaafar serius. Saya berjanji akan membangunkan daerah Larut yang penuh dengan hutan rimba ini menjadi kawasan negeri Perak yang termaju dan terkaya.

(Tengku Menteri, 2003:190-191)

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan kekayaan dan pengaruh di kawasan Larut oleh Ngah Ibrahim setelah ayahnya Long Jaafar meninggal dunia. Ngah Ibrahim yang bijak dan pernah menjadi anak angkat Sultan Perak bersungguh-sungguh memajukan kawasan perlombongannya sehingga sanggup berpindah tempat pengurusan Bukit Gantang ke Larut. Selain itu, beliau juga gigih memerangi masalah kongsi gelap yang timbul antara kumpulan Hai San dengan Ghee Hin.

c) Nilai Kasih Sayang

Dalam novel Tengku Menteri, nilai kasih sayang dapat dilihat dalam pelbagai situasi sama ada kasih sayang seorang anak kepada ibunya, kasih sayang antara suami isteri, kasih sayang antara ibu bapa kepada anak-anak serta kasih sayang terhadap masyarakat dan bangsanya. Nilai kasih sayang yang ditonjolkan dalam novel Tengku Menteri ini adalah sangat meluas dan terserlah contohnya melalui watak Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim telah ditonjolkan dengan sifat-sifat ini dengan segala perlakuan, tindakan, didikan, nasihat dan sebagainya lagi yang positif. Contohnya Ngah Ibrahim sering mendapatkan pandangan ibunya Ngah Pura sebelum membuat sesuatu pekerjaan.

Contoh:

”Cuma apa ibu?” tanya Ngah Ibrahim lembut

”Cuma ibu minta janganlah diabaikan pentadbiran di Bukit Gantang ini atau setidak-tidaknya jagalah juga kehidupan orang-orang Melayu di sini,” kata Ngah Pura menyambung bicara.

”Oh itu sudah semestinya. Saya akan memenuhi nasihat ibu itu.”

(Tengku Menteri, 2003:257)

d) Nilai Pengorbanan

Nilai pengorbanan yang terdapat dalam novel Tengku Menteri karya Dr. Talib Samat ini iaitu dapat merasakan perasaan simpati terhadap pengorbanan tokoh-tokoh pembesar negeri Perak yang sanggup berkorban nyawa demi negeri yang tercinta. Contohnya Datuk Sagor dan Datuk Paduka Maharajalela telah berjaya membunuh residen pertama di Perak hanya dengan menggunakan senjata tradisional.

Contoh :

Sultan Abdullah bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya yang cukup menginsafi perjuangan Dato’ Maharajalela dan Dato’ Sagor adalah usaha mengembalikan ketuanan Melayu dan maruah bangsa yang tidak boleh dipandang remeh.

”Baiklah, kalau semua sudah bersedia, beta terus mulakan petemuan ini. Seperti yang kita maklum, pejuang-pejuang Melayu pimpinan Dato’ Maharajalela sudah berjaya menghapuskan Birch dan beberapa serang balas pihak Inggeris.

(Tengku Menteri, 2003:644)

Semangat perjuangan orang-orang Melayu terus kekal walaupun pihak British akhirnya menghukum semua yang terlibat merancang pembunuhan J.W.W Birch termasuk Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim.

e) Nilai Kekayaan dengan Hasil Perniagaan

Nilai kekayaan dengan hasil perniagaan dapat ditonjolkan melalui watak tokoh Long Jaafar dan Ngah Ibrahim. Kejayaan tokoh Long Jaafar dan anaknya Ngah Ibrahim didapati daripada perniagaan yang telah dirancang serta diusahakan dengan sunguh-sungguh serta mendapat kepercayaan banyak pihak.

Dalam novel Tengku Menteri, kekayaan Ngah Ibrahim digambarkan sehingga boleh membina kota, surau, sekolah, masjid dan membeli kapal wap dari London. Ngah Ibrahim digambarkan sering menaiki gajahnya untuk kemana-mana selepas itu ditukar dengan menunggang kuda-kuda yang dibeli khas untuk pengangkutannya melihat ladang-ladang pertanian yang begitu luas di daerah Kerian. Paling menarik dengan kekayaannya itu Ngah Ibrahim telah berangkat ke London untuk membeli sendiri kapal wap yang hanya dimiliki oleh bangsa Eropah.

Contoh:

Apabila tiba waktunya Menteri Ngah Ibrahim, Ngah Lamat, Cik Karim Selama, Ali Osman dan Kulup Seman berangkat ke London dengan menaiki kapal laut berkuasa wap seperti yang diidam-idamkan oleh Menteri Ngah Ibrahim. Mereka berhasil membeli sebuah kapal laut berkuasa wap yang berharga $25,000.00 yang dinamakan Bahtera Bayu, mereka pulang dengan naiki kapal Bahtera Bayu yang dipandu olehseorang kapten kapal daripada syarikat pengeluar kapal laut itu.

(Tengku Menteri, 2003:335)

f) Nilai Setia Kawan

Nilai setia kawan ini ditonjolkan dengan meluas dalam novel Tengku Menteri. Watak-watak pahlawan Melayu yang menentang J.W.W Birch telah menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi kerana mereka tidak membocorkan rahsia perbincangan dan mereka yang terlibat untuk merancang pembunuhan residen British pertama ini di Pasir Salak. Mereka berani untuk menerima hukuman mati daripada pihak British tetapi tidak membocorkan rahsia.

Sikap setia kawan juga boleh dilihat daripada hubungan rapat antara Long Jaafar dengan Ali Osman yang sering membantu Long Jaafar dalam pentadbiran kekayaannya. Ali Osman begitu setia dan kagum dengan kebolehan Long Jaafar sejak mereka di Singapura lagi. Long Jaafar juga tidak melupakan sahabatnya itu setelah mula mencipta kejayaan dalam perniagaannya dan Ali Osman dijemput untuk membantunya mentadbir kekayaannya itu di Bukit Gantang.

Sikap setia kawan juga menyebabkan Ali Osman sering menasihati dan membantu Ngah Ibrahim, anak kepada sahabatnya itu dalam menguruskan kekayaannya walaupun kadangkala Ngah Ibrahim suka bertindak sendirian. Contohnya Ngah Ibrahim tidak berbincang dengan Ali Osman semasa hendak mengambil Kapten Speedy untuk menjadi wakil peminangan ke Selangor bagi meminang Cik Mariam untuk Wan Muhammad Isa anak Ngah Ibrahim.

Contoh:

“Tujuan ayah berbincang pada malam ini adalah untuk beritahu kamu semua bahawa setiausaha peribadi ayah, Kapten Speedy ada menawarkan khidmatnya untuk mengetuai rombongan meminang anak Tok Kaya di Kelang, Selangor untuk dijodohkan dengan Wan Muhammad Isa. Bagi ayah tiada masalah untuk menerimanya.

(Tengku Menteri, 2003:468)

Namun Ali Osman telah menasihati beliau agar berwaspada selalu dengan orang Inggeris yang pandai memutar belit itu. Ini menjadi kenyataan apabila Kapten Speedy belot dan membocorkan rahsia Ngah Ibrahim kepada Sir Andrew Clark dan seterusnya bekerja dengan pihak Inggeris sebagai pembantu residen.

g) Nilai Tolong-menolong

Banyak nilai tolong-menolong digambarkan dalam novel Tengku Menteri. Kejayaan Ngah Ibrahim semasa usaha meneroka Larut banyak didokongi oleh sahabat arwah bapanya iaitu Ali Osman. Ali Osman banyak membantu dan memberi nasihat kepada Ngah Ibrahim walaupun Ngah Ibrahim hanya anak sahabatnya sahaja. Beliau sering memberi panduan, teguran dan nasihat yang berwawasan kepada Ngah Ibrahim. Ali Osman masih mengingati tali persahabatan dengan Long Jaafar dan ini membolehkan Ngah Ibrahim sentiasa mendapatkan bantuan daripadanya

Contoh:

“Siapa agaknya yang patut kita lantik menjadi imam masjid baharu ini?” tanya Menteri Ngah Ibrahim.

“Saya rasa kita kena ambil guru-guru agama yang belajar di Makkah dan akan balik tidak lama lagi. Saya dengar Ngah Zakaria akan balik hujung bulan ini. Bolehlah kita cuba tanya akan dia jika mahu menjadi imam masjid baharu ini,” jawab Ali Osman.

(Tengku Menteri, 2003:351)

Selain itu, Ngah Ibrahim rajin menolong orang kampung di sekitarnya dengan membina sekolah agama, surau serta masjid. Ngah Ibrahim juga mengeluarkan zakat yang banyak untuk penduduk kampung di samping memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.

h) Nilai Bekerjasama

Nilai bekerjasama dapat dilihat apabila para pembesar bekerjasama untuk membunuh J.W.W Birch. Para pembesar membuat suatu pakatan untuk membunuh residen Inggeris yang pertama iaitu J.W.W Birtch kerana sikapnya yang tidak tahu menghormati adat istiadat Melayu, bongkak, ambil alih pungutan cukai, ganggu pentadbiran Ngah Ibrahim di Larut dan menyifatkan pembesar-pembesar Melayu seperti budak-budak. Inilah yang menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Melayu, termasuklah Sultan Abdullah. Pada 2 November 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak.

Contoh:

Orang-orang Dato’ Maharaja Lela menghampiri tempat Seputum menetak Birch dengan pedangnya. Che’ Gondah dan Ngah Ahmad menikam tubuh Birch dengan kerisnya yang sentiasa terhunus. Ngah Jabor meradak tubuh Birch dengan lembingnya. Kulub Ali menusukkan tombaknya yang panjang dan sentiasa hauskan darah mangsanya. Setuah menghunjamkan lembingnya yang tajam berkilat. Pandak Endut menetak dengan parang tajamnya. Matilah Birch di hujung keris wira-wira Perak yang gagah berani menumpaskan Birch penjajah keparat. Darah merah membaur merata. Sungai Perak menelan mangsanya seorang manusia berkulit putih.

(Tengku Menteri, 2003:619)

i) Nilai Bersatu Padu

Nilai bersatu padu turut ditonjolkan dalam novel Tengku Menteri ini. Hidup bersatu padu akan membawa keberkatan dan kedamaian. Perpaduan bangsa Melayu tergugat apabila Raja Abdullah bertindak sendiri dengan mengambil keputusan meminta bantuan Inggeris untuk menjadi Sultan Perak.

Ini menimbulkan kewujudan dua puak yang bertentangan dalam bangsa Melayu sendiri iaitu penyokong Raja Abdullah dan penyokong Ngah Ibrahim Orang Kaya Larut. Akhirnya setelah sedar daripada kesilapan, bangsa Melayu kembali bersatu apabila Raja Abdullah bertindak untuk bersatu dengan kumpulan Ngah Ibrahim dan berusaha menghalau British dari negeri Perak walaupun sudah terlewat kerana Inggeris telah mula kukuh bertapak melalui Perjanjian Pangkor yang telah ditandatangani oleh Raja Abdullah dan pembesar-pembesar Perak. Malangnya usaha mereka gagal dan dihukum buang negeri.

Contoh:

Dia mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry Ord. Dia berasa terlalu gembira kerana Berjaya meminta Syahbandar, Orang Kaya Balai, Laksamana Wan Muhammad Amin, Dato’ Sagor (Dato’ Seri Agar Diraja) dan Maharaja Lela menurunkan tandatangan dan cop mohor masing-masing dalam surat yang dikirimnya kepada Sir Harry Ord yang terkebil-kebil menerima kiriman surat daripada Raja Muda Abdullah. Dalam surat itu, dia menulis Sultan Ismail yang memerintrah sekarang tidak layak menjadi Sultan Perak. Dia tidak mengakui kesultanan Sultan Ismail kerana merasakan dirinya lebih layak.

(Tengku Menteri, 2003:382)

j) Nilai Taat Perintah Agama

Ngah Ibrahim amat taat kepada perintah agama dengan selalu solat berjemaah, solat tahajjud, solat hajat, solat istikharah serta sering berimam dengan masyarakat setempat dan menggalakkan ahli keluarga untuk solat berjemaah dengannya. Sikap ini jarang ada dalam diri umat Islam masa kini dan seharusnya wajar dicontohi. Sikap ini dicontohi melalui sikap ayahnya Long Jaafar yang turut membeli tanah di Mekah untuk memudahkan jemaah haji yang datang ke sana mencari tempat tinggal. Selain itu, beliau juga akan menjemput alim ulama untuk dating memberi ceramah agama kepada penduduk sekampung serta keluarganya bagi menambahkan ilmu agama mereka. Baginya agama Islam melihat perniagaan sebagai sumber rezeki yang utama dan ini perlu diamalkan dengan sebaik-baiknya.

Contoh:

Dia segera mengejutkan anak-anak, isteri dan ibunya Ngah Pura agar segera bangun solat subuh berjemaah. Mereka segera bangun dan menyelesaikan tuntutan Allah itu secara berjemaah. Dia seperti biasa membacakan doa panjang untuk keselamatan dirinya dan keluarganya di dunia mahupun akhirat. Mereka bersalaman di antara satu sama lain yang semakin memesrakan hubungan hidup mereka apa lagi pada saat Menteri Ngah Ibrahim ditimpa musibah akibat menandatangani Perjanjian Pangkor pada hari Selasa, 20 Januari 1874 lalu.

(Tengku Menteri, 2003:522)

k) Nilai Baik Hati

Dalam novel Tengku Menteri ini, nilai baik hati dapat dilihat dalam diri Temenggung Ibrahim. Temenggung Ibrahim begitu baik hati terhadap Long Jaafar dan Ali Osman yang hanya merantau ke Singapura tanpa beroleh apa-apa harta mahupun kekayaan yang boleh dibanggakan dengan memberikan bantuan kewangan dan keperluan untuk membiayai mereka belayar meninggalkan Teluk Belanga, Sngapura. Temenggung Ibrahim dengan sabar mendengar segala masalah yang diadukan kepadanya.

Contoh:

Jauh di sudut hati Long Jaafar terkenang jua kebaikan budi dan sifat kepemurahan Temenggung Ibrahim yang bersimpati dengannya dan menghulurkan wangnya sendiri untuk membolehkan dia berdua kembali ke Perak.

Sungguh mulia dan tinggi budimu Temenggung Ibrahim! Bilakah akan ku balas budimu itu, cetus hati Long Jaafar sewaktu berada di perut kapal penumpang yang sarat dengan penumpang pelbagai bangsa.

(Tengku Menteri, 2003:12)

l) Nilai Semangat Juang yang Tinggi

Semangat juang yang tinggi ada dalam diri para pejuang Perak. Termasuklah dalam diri Ali Osman. Ketika peperangan antara angkatan perang Kedah dan Perak berlangsung, Ali Osman yang sedang gagah bertempur dikejutkan dengan berita Alang Idin dan orang-orang kanannya yang meminta dia berundur ke tempat lain untuk menyusun serangan baru oleh Ustaz Zulkifli iaiti bapa kepada Ali Osman.

Contoh:

“Biar saya bermandi darah hari ini menyerang orang-orang Kedah. Berikan saya peluang untuk menggempur habis-habisan angkatan perang Kedah. Mereka sebenarnya bukanlah kuat sangat tetapi disokong oleh Siam apa lagi mereka jauh lebih ramai,” jawab Ali Osman yang kecewa dengan sikap bapanya itu.

(Tengku Menteri, 2003:52)

Nilai semangat juang yang tinggi juga dapat dilihat ketika para pembesar bekerjasama untuk membunuh J.W.W Birch. Para pembesar membuat suatu pakatan untuk membunuh residen Inggeris yang pertama iaitu J.W.W Birtch kerana sikapnya yang tidak tahu menghormati adat istiadat Melayu, bongkak, ambil alih pungutan cukai, ganggu pentadbiran Ngah Ibrahim di Larut dan menyifatkan pembesar-pembesar Melayu seperti budak-budak. Inilah yang menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Melayu, termasuklah Sultan Abdullah. Pada 2 November 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak.

Contoh:

Para pembesar Melayu khusyuk dan tawaduk mendengarnya. Mereka cukup bersemangat mendengarnya. Sultan Abdullah terkasima. Tiba-tiba dia terfikir perlunya untuk membuat sesuatu agar diingati oleh para pembesar, wakil pembesar atau orang-orang Melayu yang bersimpati dengan perjuangan menentang penjajah. Baginda berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh orang-orang Melayu, para pembesar dan orang Melayu yang bermesyuarat di Durian Sebatang yang semuanya berjiwa patriotic dan bersemangat jihat yang menyala-nyala.

(Tengku Menteri, 2003:581)

m) Nilai Simpati

Nilai simpati dalan novel Tengku Menteri karya Dr. Talib Samat ini dapat dilihat dalam diri Ali Osman. Ketika berkunjung ke rumah sahabatnya Long Jaafar sempena majlis pernikahan Long Jaafar dengan Ngah Pura, Ali Osman telah terdengar suara batuk ibu kepada Long Jaafar dan turut bersimpati dengan keadaanya itu.

Contoh:

Ibu Long Jaafar tidak begitu sihat sejak menerima menantu baru ini. Sering demam dan terbatuk-batuk yang begitu keras dan mengkuatirkan setiap telinga yang mendengarnya. Angin sawah terus bertiup kencang membedal daun-daun tingkap di rumah penghulu Long Abdul Latif itu. Ali Osman ikut bersimpati dengan keadaan yang ditanggung dan dideritai oleh ibu Long Jaafar.

(Tengku Menteri, 2003:72)

Selain itu, nilai simpati turut hadir dalam diri Long Jaafar sendiri. Ini dapat dilihat ketika Long Jaafar sudah memiliki tiga orang cahaya mata iaitu Kulup Seman, Ngah Ibrahim dan Che’ Alang Sepiah. Long Jaafar bersyukur dengan cahaya mata yang dikurniakan olah Allah kepadanya dan bersimpati dengan suami isteri yang tidak memiliki seorang anak pun buat penyeri hidup dan penghilang segala duka nestapa.

Contoh:

Tiba-tiba dia teringat beberapa orang kawannya seperti Hamzah yang tidak memiliki seorang anak pun hasil perkongsian hidup selama belasan tahun. Masing-masing hanya memandang si suami atau si isteri sahaja dan seorang tergolek di sana dan seorang tergolek di sini yang pastinya menjadi jemu dan membosankan juga.

(Tengku Menteri, 2003:75)

n) Nilai Saling Menasihati

Selain itu, terdapat juga nilai saling menasihati dalam novel Tengku Menteri ini. Nilai tersebut dapat dilihat dalam watak Ngah Pura iaitu isteri kepada Long Jaafar. Selain daripada memiliki sifat penyayang, Ngah Pura sentiasa menasihatidan menyokong suaminya Long Jaafar apabila Long Jaafar dilantik sebagai pemungut cukai di Kurau dan Kerian. Dialog ini dituturkan ketika mereka berpindah di tempat yang baru.

Contoh:

” Kerja baik-baik bang. Bersih, cekap, amanah. Bukan senang nak dapat kepercayaan Sultan Perak dan Datuk Panglima Bukit Gantang Alang Idin yang menaruh kepercayaan tinggi kepada abang,” kata Ngah Pura sambil menarik nafas lega kerana mereka semua selamat tiba di Bukit Gantang.

(Tengku Menteri, 2003:100)

Nilai-Nilai Negatif Dalam Novel Tengku Menteri

Terdapat pelbagai nilai-nilai negatif dalam Novel Tengku Menteri karya Dr. Talib Samat yang banyak memberikan kesan yang mendalam bagi novel tersebut. Diantara nilai-nilai negatif yang dapat dikesan adalah seperti nilai sikap tamak dan gila kuasa, nilai sikap rakus penjajah, nilai kongsi gelap dan nilai sikap hipokrit penjajah.

a) Nilai Sikap Tamak dan Gila Kuasa

Dalam novel Tengku Menteri, nilai negatif gila kuasa ini terdapat dalam diri Raja Abdullah yang ingin menjadi Sultan Perak sehingga baginda menjadi hilang arah dan fikiran yang waras. Selain itu, sikap tamak juga membawa kepada perpecahan perpaduan di negeri Perak apabila Raja Abdullah cuba untuk menjatuhkan Ngah Ibrahim melalui kuasanya. Raja Abdullah telah menyokong kongsi gelap Ghee Hin untuk memusnahkan Ngah Ibrahim dan kekayaannya. Raja Abdullah amat cemburu melihat kekayaan saudara angkatnya itu melebihi kekayaan Sultan-sultan di negeri Tanah Melayu melahan di negeri Perak sendiri.

Latar belakang Raja Abdullah yang bermasalah menyebabkan pembesar Perak tidak menyetujui baginda dilantik sebagai Sultan Perak, Ngah Ibrahim turut tidak menyokong baginda sebaliknya menyokong Raja Ismail menjadi sultan. Baginda amat marah dengan sikap Ngah Ibrahim dan seterusnya melihat peluang keemasan dengan kedatangan British ke Larut untuk mengawasi kegiatan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Bantuan Inggeris telah diminta dan ini akhirnya telah membawa kepada campur tangan Inggeris dan perlantikan baginda sebagai Sultan melalui Perjanjian Pangkor 1874.

Contoh:

“ Tapi saya berasa cukup pelik dengan Raja Muda Abdullah kenapa dia terburu-buru menghantar surat kepada penjajah Inggeris khususnya kepada Sir Andrew Clarke di Singapura. Tuan-tuan tahu tak Raja Muda Abdullah dalam suratnya itu ada menyebutkan jikalau dia ditabalkan sebagai Sultan Perak, dia akan membenarkan orang Inggeris menolong memulihkan keamanan di negeri ini. Sir Andrew Clarke membaca surat ini dan menyifatkan satu alasan untuk campur tangan dan menamatkan pergaduhan kongsi-kongsi gelap di Perak ini,” tegas Menteri Ngah Ibrahim serius.

(Tengku Menteri, 2003:514)

b) Sikap Rakus Penjajah

Melalui novel Tengku Menteri juga ditonjolkan sikap tamak bangsa Inggeris yang tidak boleh melihat bangsa lain lebih Berjaya daripada mereka. Dalam hal ini, Ngah Ibrahim telah dihukum buang negeri untuk membolehkan Inggeris kekal bertapak di negeri Perak yang kaya dengan pelbagai hasil bumi terutamanya bijih timah yang amat diperlukan oleh negara barat untuk industri berat di Eropah. Inggeris sengaja menghantar J.W.W Birch yang tidak tahu tentang adapt dan budaya Melayu ke kewasan Larut untuk menggugat ketokohan pemimpin Melayu itu yang amat cintakan bangsa dan agamanya. Ngah Ibrahim juga amat tidak menyetujui Perjanjian Pangkor dan bijak dalam berfikir. Justeru, Inggeris bimbang jika kekal tinggal di Perak, kemungkinan besar Ngah Ibrahim akan melacarkan serangan terhadap kedudukan Inggeris. Tindakan yang baik adalah mencari peluang untuk menghalau keluar Ngah Ibrahim dari negeri kelahirannya. Pembunuhan Birch menjadi titik tolak bagi Inggeris untuk kekal kukuh bertapak di negari-negeri Melayu dan seterusnya mentadbir mengikut cara British. Taiping dibangunkan dengan tujuan untuk mengaburi pandangan bangsa Melayu sendiri.

Contoh:

Menteri Ngah Ibrahim terasa begitu pedih, kecewa dan hampa yang tidak berhujung bila dijatuhkan hukuman buang negeri ke Pulau Seychelles bersama tiga orang pembesar Perak iaitu Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Mahamor. Dia berasa geram dan marah sekali dengan hukuman yang dijatuhkan oleh penjajah Inggeris itu.

(Tengku Menteri, 2003:649)

c) Nilai Kongsi Gelap

Peranan kongsi gelap yang telah mula menunjukkan belang dijelaskan dalam novel Tengku Menteri beserta tokoh-tokoh lain yang membantu kumpulan ini. Kongsi gelap mula memasuki Perak apabila bijih timah diusahakan dengan meluas oleh Long Jaafar. Namun, tokoh ini berjaya mengawal segala perlakuan buruk kumpulan ini iaitu Ghee Hin dan menyokong kumpulan Hai San. Kematian Long Jaafar mula memberi kesan buruk apabila Ngah Ibrahim telah membawa masuk lebih ramai orang-orang Cina yang tidak diketahui asal-usul mereka. Beliau juga menyokong kumpulan Hai San dan ini telah membawa kepada Perang Larut 1, 2 dan 3. British turut memberi sokongan untuk campur tangan setelah kongsi gelap Ghee Hin meminta bantuan British. Kesukaran mengawal kongsi gelap dan salah percaturan Ngah Ibrahim telah menyebabkan kongsi gelap berkuasa dan seterusnya membuka kepada era penjajahan British di Perak.

Contoh:

Peperangan berlangsung terus. Pada bulan Oktober 1872 puak Ghee Hin dan Hai San dengan segala konco-konconya terus bertempur. Puak Hai San berjaya mengundurkan puak Ghee Hin yang sedang diasak teruk dari bumi Larut menuju ke Matang. Pada bulan Disember 1872, pasukan perang puak Ghee Hin telah menyerang balas dan membakar segala rumah dan harta benda awam di Sungai Limau yang tidak jauh dari kedudukannya dari Bukit Gantang. Mereka meneruskan kemaraan ke Kota Ngah Ibrahim di Matang. Dendam mereka terhadap Menteri Ngah Ibrahim tetap membara dan berkembang subur.

(Tengku Menteri, 2003:403)

d) Nilai Hipokrit Penjajah

Selain itu, sikap buruk penjajah juga terdapat dalam novel Tengku Menteri. Kapten Speedy yang telah diambil bekerja oleh Ngah Ibrahim telah menggunakan tipu muslihat untuk mengetahui rahsia dan kejayaan Ngah Ibrahim serta dilaporkan kepada pihak berkuasa British. Usaha-usaha serta sikap cemburu Inggeris dengan kejayaan orang Melayu mencapai kemuncak apabila Inggeris mengenakan pelbagai cara untuk menjatuhkan Ngah Ibrahim tetapi tidak berjaya kerana tokoh ini mampu membayar wang kepada mereka. Namun pembunuhan J.W.W Birch telah memberi peluang keemasan untuk mereka menjatuhkan hukuman buang negeri ke atas tokoh korporat Melayu ini ke Pulau Seycelles.

Contoh:

”Sebenarnya penjajah Inggeris memang geramkan kau Ngah Ibrahim kerana kau seorang jutawan dan paling cerdik daripada kalangan pembesar Melayu. Itulah sebabnya saya rasa kau menjadi sasaran penjajah Inggeris meskipun penglibatan kau tidakbegitu jelas dengan peristiwa kematian J.W.W. Birch,” ujar Laksamana Wan Muhammad Amin.

(Tengku Menteri, 2003:651-652)

4.0 KESIMPULAN

Tuntasnya, nilai merupakan salah satu aspek terpenting yang penghasilan sesebuah karya kerana nilai merupakan sifat ketinggian sama ada pemikiran, agama, kemasyarakat dan sebagainya. Novel Tengku Menteri merupakan sebuah novel yang sarat dengan pelbagai nilai yang dipamerkan sama ada nilai-nilai yang positif mahupun nilai-nilai yang negatif. Nilai-nilai yang terkandung di dalam novel ini dapat dipertontonkan untuk generasi akan datang bagi melahirkan kesedaran dalam diri generasi sekarang.

Kepelbagaian nilai positif yang didukung oleh masyarakat pada zaman tersebut jelas menunjukkan bagaimana kehidupan mereka pada masa itu dan nilai hidup inilah yang diwarisi dari nenek moyang ini seterusnya diterapkan ke generasi yang mendatang. Penerapan nilai-nilai ini adalah untuk memberikan kesedaran dan meningkatkan lagi keperibadian masyarakat Melayu. Manakala nilai-nilai yang negatif haruslah disingkir dari kehidupan sekarang.

Secara keseluruhannya, nilai yang positif sebagai gaya hidup yang dipegang oleh sesebuah masyarakat haruslah dicontohi dan dijadikan pegangan bagi generasi muda zaman sekarang.

Takkan Melayu Hilang Didunia

5.0 BIBLIOGRAFI

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur

Talib Samat, 2003. Tengku Menteri. Shah Alam : Karisma Publication Sdn. Bhd.

Talib Samat, 2005. Kesan dan Penghayatan Novel Sejarah Tengku Menteri. Kuala Lumpur : Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa dan Sastera. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Nik Safiah Karim, Arbak Othman (2005). Kamus Komprehensif Bahasa Melayu. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn Bhd.

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa dan Sastera. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

(Diperoleh pada September 10, 2008 daripada laman web Forum EKPKM: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358)

(Diperoleh pada September 11, 2008 daripada laman web Forum Schools: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20-%20unsur%20sastera.htm)

4 Responses so far »

  1. 1

    salamesrabadi said,

    salam.. mohon izin saudari untuk membuat rujukan artikel ini…

  2. 2

    Yati_Yula said,

    wassalam, silakan.

  3. 3

    mawar kuning said,

    salam..mohon izin utk buat rujukan..

  4. 4

    Yati_Yula said,

    wassalam, silakan..


Comment RSS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: