Aplikasi Terhadap Karya Kesusasteraan

Tugasan individu

Aplikasi terhadap teks kesusasteraan:-

  • Genre : Novel (1), cerpen ( 2 buah), Sajak ( 3 buah) dan drama (1 buah)
  • Panjang 8 – 10 halaman

  • Rujukan : 5 buah

Format penulisan:

  1. Pengenalan
  2. Definisi konsep/istilah
  3. Kaedah (teori yang digunakan)
  4. Analisis teks berasaskan prinsip-prinsip teori yg dipilih
  5. Rumusan

———————————————————————————————

Tajuk Kursus : Pengantar Teori dan Kesusasteraan (Bst 1033)

Genre yang dipilih : Novel “Sanggetha” karya Azizi Abdullah

Teori yang dipilih : Teori Psikoanalisis


Analisis Novel “Sanggetha” melalui “Teori Psikoanalisis”

oleh : Yati Yula

1.0 PENGENALAN

Watak Utama : Sangeetha

Dalam novel Sangeetha karya Azizi Haji Abdullah, watak utama dalam novel ini adalah Sangeetha iaitu seorang wanita India, berusia 80 tahun atau boleh dikategorikan sebagai warga emas yang telah hidup dalam kesunyian selama lima tahun setelah kematian suaminya, Viralal dan telah jatuh cinta kepada Derus iaitu seorang lelaki Melayu yang berumur 70 tahun. hatinya begitu tergoda kepada Derus, begitu kesepian dan ingin Derus sentiasa mendampinginya, namun egonya menyedarkannya supaya berpijak di alam realiti bahawa dia bukan anak gadis lagi.Setelah kematian Viraral dalam keadaan dia memeluk agama Islam, Sangeetha menjadi seorang janda kaya, hartawan dan dermawan yang terkenal di merata dunia hasil dari sumbangannya untuk pelbagai pertubuhan dan anak-anak miskin. Derus pula tidak pernah berkahwin dan merupakan seorang bekas posmen pencen, telah bekerja di rumah Viralal dan Sangeetha dan hubungan mereka menjadi sangat baik. Lantaran kesunyian yang melanda jiwa antara kedua-dua watak ini, timbullah bibit-bibit cinta. Cinta itu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia dan memang benar, cinta itu tidak mengenal batas usia, sempadan bangsa atau perbezaan agama. Itulah satu hakikat yang tidak boleh sama sekali dinafikan. Derus turut menyimpan perasaan terhadap Sangeetha. Cinta yang terpendam antara dua watak ini iaitu warga emas India dan Melayu, yang tidak diluahkan melalui kata-kata, keliru diantara perasaan sayang dan kasihan akhirnya berakhir dengan keadaan Sangeetha yang nazak dan Derus yang semakin kuat beribadat serta memohon doa agar Sangeetha kembali pulih, namun akhirnya Derus yang meninggal dunia.

2.0 DEFINISI KONSEP/ISTILAH

Konsep : Kesunyian (dalam watak)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kesunyian membawa maksud perihal sunyi, keheningan, kelengangan, kesenyapan, dan kesepian. Selain itu, kesunyian turut ditakrifkan sebagai hati yang berasa sunyi (kerana keseorangan dan lain-lain).

(Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga 1994 : m/s 1323)

Amir Hamzah, seorang penyair terkenal, menyebutkan sunyi dalam rangkap bait puisinya, “Sunyi itu duka, sunyi itu kudus. Sunyi itu luka, sunyi itu lampus.” Dalam bahasa yang mudah kesunyian adalah suatu keadaan yang menyebabkan jiwa dan hati rasa terasing. Ia boleh menyebabkan manusia digigit resah dan dipaut pasrah. Cabaran dan godaan juga sering datang pada waktu sunyi. Manusia mempunyai nafsu dan naluri.

Menurut Maslow keperluan kepada kasih sayang dan perasaan kepunyaan (sense of belonging) adalah penting untuk menghilangkan perasaan kesunyian atau keterasingan. Jelas Maslow lagi, individu ini akan menikmati kesepian dan hanya menikmati hubungan yang mendalam dengan insan yang terdekat sahaja. Dengan kata lain, individu seperti ini tidak memerlukan ramai insan lain untuk bersamanya.

Sehubungan dengan itu, melalui novel Sangeetha, sikap Sangeetha yang ingin mendapatkan kasih dari Derus dikira sesuatu yang normal bagi seorang yang berada dalam kesunyian, iaitu lima tahun setelah kematian suaminya, Viralal.
Perasaan Sangeetha yang berusaha menghilangkan kesunyian dan kesepian dengan adanya harapan dan penantian yang menjadi perantara. Kehadiran Derus yang sering berkunjung ke rumah besarnya berupaya mengurangkan rasa sunyi dan sepi dalam dirinya. Dia hanya sekadar hanya mahukan Derus berada di rumahnya sahaja.


3.0 KAEDAH (Teori yang digunakan)

Teori : Psikoanalisis

Sigmund Freud telah melakukan kajian dan eksperimen serta merumuskan bahawa manusia dikuasai oleh alam batinnya sendiri. Berdasarkan Teori Psikoanalisis, personaliti manusia terbahagi kepada tiga struktur iaitu id, ego dan super ego. Id diandaikan semua gejala yang neutral dalam pemikiran seorang individu.  Dalam pandangan psikoanalisis, ciri id seseorang itu sudah wujud semasa ianya dilahirkan.  Id dianggap sebagai satu elemen struktur yang semulajadi, satu elemen yang diwarisi, satu elemen yang sedia ada dalam diri manusia. Id tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan. Id merupakan sumber LIBIDO.  Tujuan utama id adalah bagi mendapatkan keseronokan dan kepuasan sendiri .Ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan.  Dalam erti kata lain, ego merupakan jaringan yang mengawal kehendak. Sebagai alat memperkukuhkan diri pada tahap sedar, ego memainkan satu fungsi yang penting dalam struktur tingkahlaku dan personaliti individu. Antara fungsi ego adalah ego dapat bertindak terhadap acara yang mendatangkan kecemasan, biasanya konflik atau pertentangan antara id dengan super ego. Manakala super ego merupakan jaringan dan pendinding bagi segala situasi. Super ego lebih menyerupai hati nurani atau ‘conscience’ seseorang individu. Super ego merupakan akar tunjang dari aspek peneguhan moral yang baik.  Super ego mengawal ego dan id.  Super ego bertindak seakan-akan seperti ibu bapa seorang individu, saling mengingatkan keadaan, suasana, peristiwa, persepsi, pemikiran, emosi, perasaan, sikap, tingkah laku.  Disebalik super ego sentiasa wujud imej pengawalan.

4.0 ANALISIS TEKS (Berasaskan prinsip-prinsip teori yang dipilih)

Novel Sangeetha : Teori Psikoanalisis

Menghubungkan watak Sangeetha dengan teori psikoanalisis Freud, maka beberapa peristiwa  yang memaparkan gejala kejiwaan Sangeetha dilihat dapat dianalisis melalui tiga struktur personaliti manusia iaitu id, ego dan super ego.

Ø Id

Berdasarkan pemahaman ringkas tentang struktur psikologi manusia oleh Frued, aspek id dalam novel ini boleh dilihat melalui kisah Sangeetha yang kosong jiwanya dan kesepian setelah kematian suaminya Viralal. Memang wajar Sangeetha mengalami perasaan seperti itu kerana kehidupannya dengan Viralal, meskipun tanpa anak, sentiasa diisi dengan cinta dan kasih sayang. Dalam Sangeetha, Viraral telah mati pada usia 80 tahun sedangkan Sangeetha masih hidup dengan ingatan dan kekuatan fizikal yang mengagumkan. Malah ilusi cintanya pada Derus semakin kuat. Lihat saja keinginan dan naluri cinta kasih Sangeetha terhadap Derus yang diterjemahkan dalam bentuk igauan dan mimpi indahnya bersama Derus yang tidak pernah melalui dan memahami pengalaman dan alam berumahtangga. Sedangkan Sangeetha pula cuba menggembalikan saat indah bersama Viralal, yang kini pasangan barunya ialah Derus.

Contoh :

Dia adalah hartawan dan dermawan, yang sudah memboroskan masa hidupnya dengan tabla dan dagga, dengan merbuk dan kucing dan yang tidak diketahui oleh sesiapa, dia telah melepaskan sisa hidupnya bersama Derus, lelaki 10 tahun lebih muda daripadanya, seorang posmen pencen, yang snagat setia taatnya menghasibkan masa muda dan masa tuanya kerananya, kerana membajai kepikunannya. Lelaki itulah yang sangat mengerti tentang perasaan pikunnya yang seboleh-bolehnya hendak mengembalikan kemudaannya semula.

(Petikan muka surat 446)

Demikianlah juga kekuatan ilusi dan fantasi cinta Derus terhadap Sangeetha, begitu asyik dan mendalam hingga ke tahap fana.

Contoh :

Kedua-dua mereka tidak nyanyok, masing-masing bertenaga, mempunyai ingatan yang kuat, mungkinkah kestabilan memori itu datangnya dari nafas cinta yang boleh memberikan tenaga baru? Kerana kuasa cinta apa saya boleh berlaku. Tiba-tiba petikan gambus terhenti. Terdengar Derus batuk-batuk. Sangeetha terdongak. ‘Derus!’ Tapi suara itu tidak keluar. Yang terasa biji halkumnya saja bergerak turun naik. Yang terasa sekitar rumah seperti berpusing dan basikal Raleigh pemberian Viralal dulu juga seperti berpusing-pusing. ‘Derus …’ Dipanggilnya sekali lagi tetapi suara panggilannya terperosok ke dalam juga. Jauh di sudut hati.

(Petikan muka surat 327)

Ø Ego

Ego menerbitkan fikiran waras pada diri mereka berdua akan kepikunan masing-masing. Ego pula bertindak bagaimana memuaskan kehendak id berdasarkan prinsip rasionaliti. Malah, ego juga mengawal perlakuan mereka supaya tidak kelihatan serong pada pandangan masyarakat iaitu Karim dan Mamat yang bekerja dengan Majlis Bandaran sebagai pengutip sampah; Husin yang tinggal menyewa di rumah sewa Sangeetha bersama Derus; dan Raja yang bekerja sebagai penjual botol dan suratkhabar terpakai adalah antara orang yang curiga kepada Derus kerana begitu setia bekerja dengan Sangeetha.

Contoh :

Lantaran kecurigaannya, Husin misalnya pernah bertanya,

“Pak Derus bawa perempuan tua India. Tak pelikkah jadi kulinya?”

(Petikan muka surat 211)

Malah Husin juga pernah menyindirnya bahawa orang tua pencen sepertinya seharusnya tekun membaca al-Quran dan ke masjid beribadat. Karim pula pernah berkata,

Contoh:

“Kalau nak bawa perempuan pun, carilah yang muda sikit. Ini….” Lalu Karim ketawa berdekah-dekah.

(Petikan muka surat 211)

Walaupun Derus menyimpan perasaan terhadap Sangeetha, tetapi jika diteliti dengan cermat, dalam banyak keadaan, Derus dikawal oleh keadaan sedarnya. Lantaran itulah, Derus tidak pernah mengambil kesempatan untuk bermesra-mesraan dengan Sangeetha, walaupun dia mempunyai peluang yang terbuka luas untuk berbuat demikian ketika berada di rumah Sangeetha.

Contoh:

Tidak ada orang yang akan tahu kalau dia masuk ke dalam rumah Sangeetha dan bermesra-mesraan dengan wanita pikun yang kesepian itu kerana rumahnya agak terpencil dari jalan raya dan dari pandangan orang ramai. Pernah Sangeetha mempelawanya tidur di rumahnya:

“Rumah aku ni pondok burukkah? Engkau boleh bermalam di rumah buruk aku ni kalau tak sempat balik”

(Petikan muka surat 349)

Namun, egonya menyuruh dia pulang ke rumahnya.

Contoh:

Meskipun berikutnya Derus ada bermalam di rumah Sangeetha, tetapi mereka tidak berdua-duaan kerana pada ketika itu Meena ada bersama di rumah limas besar potongan Perak itu.

(Petikan muka surat 371)

Perasaan begini tentulah tidak dibalut oleh desakan seks, sebaliknya oleh hubungan pekerja dengan tuannya, atau simpati yang mendalam kerana tuannya itu telah begitu tua dan perlukan perhatian.

Melihat kepada Sangeetha pula, meskipun hatinya begitu tergoda kepada Derus, begitu kesepian dan ingin Derus sentiasa mendampinginya, namun egonya menyedarkannya supaya berpijak di alam realiti bahawa dia bukan anak gadis lagi. Kesedaran inilah juga yang menyedarkannya supaya tidak memaksa Derus untuk duduk di sampingnya ketika dia menerima anugerah penghargaan daripada Menteri di Dewan Masyarakat Penyayang kerana sumbangan dermanya yang banyak terhadap masyarakat.

Benarlah kata orang cinta itu buta, cinta tidak mengenal usia. Namun dalam banyak situasi, zon ego berjaya mengawal rasa cinta kedua-dua watak ini untuk berada dalam zon super-ego. Kemuncak cinta dan naluri seks mereka di transformasikan kepada irama muzik tabla, dagga dan gambus, bahkan simbol cinta itu dipindahkan kepada burung merbuk.

Contoh:

“Merbuk sudah segar, dan tentu Sangeetha juga sudah sihat”. Setiap pergerakan merbuk adalah reflection Sangeetha.

(Petikan muka surat 518)

Contoh:

Manakala Sangeetha pula berfikir, “membawa balik merbuk untuk berubat sama sahaja dengan mencempungnya untuk berubat. Mengubati merbuk sama saja mengubatinya yang dalam kepikunan. Tetapi ada yang tidak dapat diubatinya dalam kepikunan itu ialah kerinduan.”

(Petikan muka surat 508).

Tanggapan ini dibuat dalam keadaan “unconscious” melalui tindak-tanduk sublimasi yang berada dalam takungan libido. Dalam kes ini, zon-psikik Sangeetha dan Derus dikawal oleh Ego untuk berada dalam super-ego. Mereka tidak melanggar norma-norma yang telah ditentukan oleh masyarakat. Demikan juga perasaan yang sama dipindahkan kepada mandian merbuk. Berikut merupakan petikan yang memperlihatkan kerinduan Derus kepada Sangeetha,

Contoh:

Apakah Sangeetha juga begitu?

Dan apabila dia mendongak mengamati betul-betul merbuk yang diam di dalam sangkar di hujung alang semurup pisang sesikat itu ternyata merbuknya seperti murung.
Murung jugakah Sangeetha?

Ternyata merbuk itu seperti selesema.

Selesema jugakah Sangeetha?

Merbuk itu seperti meluruh.

Merohoi jugakah semangat Sangeetha?

(Petikan muka surat 500)

Ø Super ego

Memperkatakan super ego pula, struktur moral ini pada dasarnya begitu ketara pada watak Derus. Jika diamati, agamalah yang menuntun jiwa Derus agar menjaga perilakunya supaya tidak melewati batas-batas agama yang hak apabila berada bersama dengan Sangeetha. Oleh yang demikian, ketika Derus berasa Meena sudah menguasai seluruh kehidupan dan rumah Sangeetha, perasaan hampanya kerana tidak lagi dapat sebebas dulu mendekati Sangeetha dipindahkan kepada Allah s.w.t.

Hal ini bermakna perasaan cinta sesama manusia yang berteraskan prinsip keseronokan telah dipindahkan Derus kepada cinta yang berteraskan prinsip moral bagi menemukan cinta yang lebih tinggi, suci dan abadi. Sebab itulah ketika Meena memberitahunya Sangeetha sakit tenat, Derus dapat mengekang keinginannya yang membuak-buak untuk menemui Sangeetha dengan cara mendekatkan lagi dirinya kepada Allah s.w.t.. Dalam keadaan yang benar-benar sedar akan ketidakupayaannya untuk menyihatkan Sangeetha kembali, Derus semakin kuat beribadat. Selain bersembahyang hajat, doa yang tulus turut dipanjatkan kepada Allah swt agar Sangeetha kembali pulih.

Ketiga-tiga struktur id, ego dan super ego adalah saling berkaitan dan melalui novel ini, dapat dilihat melalui watak utama iaitu Sangeetha dan Derus. Dalam hal ini terdapat beberapa situasi di mana ego sudah tidak dapat menyeimbangkan antara zon id dan zon super-ego, kerana kemuncak cinta Sangeetha terhadap Derus dan begitu juga kemuncak cinta Derus terhadap Sangeetha telah memasuki zon id.

Contoh :

Dia ingin tersenyum tetapi tidak berseri kerana kerepot dan kebam bibir tuanya. Tiba-tiba dia teringat bagaimana Viralal mengucupnya dengan penuh kegelian kerana serabut tajam misaim Viralal. Dan kini, ternyata misai dan janggut Derus tidak terjaga dan kulit pipinya yang tua berkedut dengan garis-garis panjang, tikaman bulu janggut dan misaim Derus terasa mjal-mejal sahaja. Sangeetha teringat ciuman seperti itulah dua puluh tahun yang lalu, satu ciuman terakhir daripada Viralal. Lalu dia pun membalas dengan meletak tangannya ke bahu Derus sebagai membuktikan tindak balas kemesraan, dia mendekap bibir kerepotnya ke pipi Derus.

‘Jangan!’ kata Derus terengah-engah.

‘Kau sudah pun melakukannya, Sangeetha.’

‘Tidak.’
Keaktifan Sangeetha seperti dia telah meninggalkan kepikunannya 10 tahun yang lampau. Akan tetapi Derus terkapai-kapai kerana tidak memiliki pengalaman luar biasa.

‘Aku sudah tua,’ gumamnya dan ternyata rasa-rasanya dia akan kecundang terlebih dahulu kerana penat semputnya. Tetapi Derus juga tidak memenuhi syarat seperti lelaki lain. Mungkin kerana pertama kali dan kesempatan yang ada sangat terburu-buru. Dia merasa, menggagahi dirinya dan memaksa Derus mengagahi perasaannya bukanlah ubat kuat. Akhirnya dia terkulai dan tidur di atas lengan Derus yang lumpuh keaktifannya. Dia terbaring dengan kesal tetapi dia berasa puas kerana adanya kesepaduan rasa. Bukankah Derus tidak menolak? Akan dibiarkan Derus terkelepek sampai pagi.

(Petikan muka surat 394)

Hal yang sama berlaku dalam diri Derus yang menggilai Sangeetha dengan penuh rasa berahi yang tidak pernah dialaminya. Kedudukan ego sebagai penapis dan pengimbang zon psikiki manusia gagal berfungsi. Derus hanyut dalam lamunan menuju ke zon id, sehinggalah lamunannya tersedar setelah terkejut ada benda jatuh di bilik Sangeetha.

5.0 RUMUSAN

Berdasarkan penelitian, kesunyian jiwa dan percintaan luar biasa (unik) di antara warga emas ini telah berjaya digarapkan dengan begitu baik oleh Azizi Haji Abdullah di dalam karyanya berjudul  Sangeetha ini. Lantaran garapannya yang teliti berkaitan gelodak jiwa watak utamanya yang bernama Sangeetha dan kekasih hatinya Derus,  maka bagi pandangan saya, karya ini sesuai dibaca dengan menggunakan teori psikoanalisis gagasan Sigmund Freud ini. Watak Sangeetha yang kesunyian dan mendambakan kehadiran Derus dalam mengisi kesepian hatinya, mendapat pelbagai persepsi dan tanggapan oleh masyarakat di sekelilingnya ekoran isu percintaan antara dua bangsa dan agama yang berbeza ini disamping faktor usia. Namun begitu, kasih sayang dan harga diri adalah dua keperluan asas untuk setiap individu. Kedua-dua perkara ini perlu terlebih dahulu dimiliki sebelum peringkat terakhir dari tingkat-tingkat keperluan diri tercapai. Keperluan harga diri ini ialah satu perasaan berkaitan dengan harga diri dan keupayaan peribadi. Bagi watak Derus pula, perasaan hampanya kerana tidak lagi dapat sebebas dulu mendekati Sangeetha dipindahkan kepada Allah s.w.t. Hal ini bermakna perasaan cinta sesama manusia yang berteraskan prinsip keseronokan telah dipindahkan Derus kepada cinta yang berteraskan prinsip moral bagi menemukan cinta yang lebih tinggi, suci dan abadi. Derus dapat mengekang keinginannya yang membuak-buak untuk menemui Sangeetha dengan cara mendekatkan lagi dirinya kepada Allah s.w.t.. Dalam keadaan yang benar-benar sedar akan ketidakupayaannya untuk menyihatkan Sangeetha kembali, Derus semakin kuat beribadat. Selain bersembahyang hajat, doa yang tulus turut dipanjatkan kepada Allah swt agar Sangeetha kembali pulih.

6.0 BIBLIOGRAFI


Azizi Haji Abdullah. 2006. Sangeetha. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Halim Ali. 2006. Ikhtisar Teori & Kritikan Sastera Barat dan Malaysia.

Tanjung Malim:Penerbitan Profesional Baharu.

Azizi Haji Abdullah. 2005. “Sangeetha”, Dewan Sastera, Februari 2005: 62-66.

Mana Sikana. 1998. Teori dan Pendekatan Kritikan Sastera Moden. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Amir Hasan Dawi. 1999. Penteorian  Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books,

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur

(Diperoleh pada Febuari 20, 2009 daripada laman web Sangeetha: http:///www.sangeetha.org/Banner.htm)

(Diperoleh pada Febuari 22, 2009 daripada laman web PhillWebb.Net: http://www.phillwebb.net/History/TwentiethCentury/Continental/Psychoanalysis/Psychoanalysis.htm )

(Diperoleh pada Febuari 22, 2009 daripada laman web Suara Karya Online: http://www.suarakarya.online.com)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: