Archive for Tugasan

Delightful Penang “Experience The Visual Exhibition 09”

Pelajar Pendidikan Seni Komunikasi Visual Melakar Sejarah di Pulau Pinang

KEPALA BATAS : Seramai 45 orang pelajar program Pendidikan Seni Komunikasi Visual (Viscom) semester 7  telah menyertai pameran degree show Delightful Penang “Experience The Visual Exhibition 09” yang bertempat di Kompleks Dato Kailan, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 21hb November 2009. Pameran ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Redhuan bin Che Ros, Penasihat Khas Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mewakili Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi. Turut menghadiri pameran ini adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, ADUN Bertam Pulau Pinang, Dekan Fakulti Seni dan Muzik serta ramai lagi.

Mengulas kenyataan Penasihat Khas Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang berkata “Pameran DELIGHTFUL PENANG  ini dapat mempromosikan negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan unggul dan sumber rujukan khazanah sejarah dunia terbilang dimana Pulau Pinang telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO. Disamping itu membuka minda mahasiswa menerusi pendekatan eksplorasi dan menjana kreativiti dalaman meluahkan bakat yang terpendam supaya mendapat keyakinan menjadi graduan yang memiliki kemahiran insaniah (softskills) yang tinggi dan meneruskan perjuangan mengejar ilmu sepanjang hayat menerusi konsep pendidikan berterusan.” 

Beliau turut mengzahirkan rasa berbangga dengan adanya penglibatan rakan-rakan dan kakitangan universiti dalam menjayakan DELIGHTFUL PENANG : “Experience The Visual Exhibition 09” (Degree Show) dan ini merupakan satu petanda baik bagi menjana kebitaraan UPSI. Beliau juga merasakan kematangan para pelajar  UPSI telah setanding dengan universiti – universiti lain di Malaysia pada hari ini.

Pameran Delightful Penang “Experience The Visual Exhibition 09” ini telah dijayakan oleh para pelajar program Pendidikan Seni Komunikasi Visual semester 7 dibawah Fakulti Seni dan Muzik bermula 20hb November 2009 sehingga 21hb November 2009. Pameran ini mempersembahkan karya akhir para pelajar dalam bentuk seni grafik, multimedia interaktif dan animasi. Pulau Pinang adalah lokasi yang menjadi subject matter dan juga sebagai tema persembahan kepada pameran. Ini adalah untuk menyanjung tinggi warisan Negara yang terdapat di sana.

Terdapat empat major dibawah program Pendidikan Seni Komukasi Visual ini seperti Animation Design, Interactive Design, Advertising Design serta Graphic Design. Anugerah karya terbaik juga diberikan kepada Mohd Shahril bin Razali (Animation Design) , Nik Muhammad Firdaus bin Shafie (Interactive Design), Nor Aida binti Hajin (Advertising Design) dan Maisalmah bt Mohd Halil (Graphic Design).

Objektif pameran ini adalah untuk mendokumentasikan khazanah warisan dunia negeri Pulau Pinang dalam bentuk audio visual (fotografi, videografi, animasi 2D dan 3D, buku coffee-table, karya grafik, CD interaktif dan laman web). Ia juga menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan unggul Negara, setelah diiktiraf oleh badan dunia (UNESCO) sebagai warisan dunia. Pameran ini juga memberi pendedahan terhadap pelajar tahun akhir bagaimana pengurusan sesebuah pameran umum diuruskan. Ia juga memberi peluang kepada Fakulti Seni dan Muzik untuk mengadakan pameran luar sebagai tatapan umum.

Melalui pameran ini, para pelajar dapat menghasilkan karya kreatif seni komunikasi visual yang dipersembahkan pada khalayak awam menerusi aktiviti pameran DELIGHTFUL PENANG : “Experience The Visual Exhibition 09”. Program sebegini dapat memangkin nilai kebitaraan UPSI menerusi karya kreatif berpameran. Ia juga dapat membuka minda mahasiswa menerusi pendekatan eksplorasi dan menjana kreativiti dalaman meluahkan bakat yang terpendam supaya mendapat keyakinan menjadi graduan yang memiliki kemahiran insaniah (soft skills) yang tinggi dan meneruskan perjuangan mengejar ilmu sepanjang hayat menerusi konsep pendidikan berterusan.

Pelbagai aktiviti yang akan dijalankan antaranya kuiz interaktif untuk pelajar sekolah, demo kraf tradisional seperti batik, anyaman dan membuat tembikar oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pendedahan kepada pelajar sekolah serta para pengunjung yang hadir. Terdapat juga demo penggunaan perisian seperti Corel Draw, 3D Max dan sebagainya oleh para pelajar.

 

Disediakan oleh :

AJK Dokumentasi

Delightful Penang : “Experience The Visual Exhibition 09”

1) Nor Aida binti Hajin

2) Haryati binti Zainunddin

 

Leave a comment »

Di Bawah Lindungan Ka’bah – Hamka

TAJUK KURSUS : PENGANTAR SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU (BST 1012)

TAJUK TUGASAN : Garapan nilai-nilai kemanusiaan dalam novel 1930-an, satu kajian berdasarkan teks sebelum perang dunia ke-2 di Indonesia.

TEKS : DI BAWAH LINDUNGAN KA’BAH karya HAMKA

——————————————————————————————–

ABSTRAK

Novel merupakan salah satu bentuk karya sastera prosa. Sebagai sebuah karya sastera, novel juga merupakan salah satu bentuk hasil budaya manusia yang dituntut untuk memenuhi aspek-aspek manfaat suatu hasil budaya. Diantara aspek yang dituntut pada sebuah hasil budaya adalah aspek bagi nilai-nilai kemanusiaan. Terkait dengan hal-hal tersebut, maka tinjauan nilai-nilai kemanusiaan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka merupakan pengungkapan salah satu fungsi novel sebagai hasil budaya. Telaah terhadap kandungan nilai kemanusiaan pada novel ini dan sejauh penelitian yang telah dilakukan mendapati antara nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah adalah seperti nilai kepentingan agama, nilai kasih sayang, nilai ketabahan hati, nilai simpati, nilai persahabatan yang sejati, nilai kepentingan adat, nilai kepentingan ilmu dan nilai berdikari. Nilai-nilai kemanusiaan ini telah digarab dengan baik oleh hamka bagi menghasilkan sebuah novel yang penuh dengan pengajaran dan teladan bagi setiap yang membacanya. Penerapan nilai-nilai ini adalah untuk memberikan kesedaran dan meningkatkan lagi keperibadian masyarakat Melayu. Manakala nilai-nilai yang negatif haruslah disingkir dari kehidupan sekarang.

ISI KANDUNGAN

BIL

KANDUNGAN

 

1.0

 

Pengenalan

 

 

2.0

 

Latar Belakang Kajian

2.1 Kajian Lalu

Mohammad Syafiudin Mashud

 

 

3.0

 

Kaedah Penyelidikan

 

 

4.0

 

Analisis Kajian

 

 

5.0

 

Rumusan Kajian

 

 

6.0

 

Bibliografi

 

1.0 PENGENALAN

Novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini telah diilhamkan sekitar tahun 1938 di Indonesia oleh Hamka. Meskipun tergolong sebagai sebuah novel lama, tetapi novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini mempunyai keunikan yang tersendiri. Novel yang dihasilkan sebelum perang dunia ke-2 ini sedikit sebanyak menggambarkan keadaan masyarakat di Indonesia pada waktu itu. Sungguhpun keadaan di Indonesia tidak banyak bezanya dengan keadaan di Malaysia namun berbalik kepada perkembangan novel pada tahun 1930-an, banyak persoalan-persoalan tentang percintaan yang tidak kesampaian telah disentuh oleh penulis. Terdapat juga persoalan mengenai perbezaan darjat. Ini menunjukkan keadaan pada masa itu sudah ada jurang di antara orang miskin dan orang kaya.

Novel ini mengisahkan tentang anak yatim bernama Hamid, dan sejak kecil Hamid sudah tidak mempunyai ayah dan hidup bersama ibunya yang sangat miskin. Ketika menginjak masa sekolah Hamid diambil anak angkat oleh haji Jafar saudagar terkaya di Indonesia. Haji Jafar mempunyai anak gadis bernama Zainab usianya satu tahun lebih muda dari pada Hamid. Hamid dan Zainab telah disekolahkan bersama dan setelah tamat, Hamid menyambung pelajaran agama namun Zainab tidak dibenarkan keluar dari rumah apatah lagi menyambung pelajaran beliau. Masyarakat pada zaman itu menitikberatkan perihal anak gadis mereka yang hanya perlu tinggal dirumah ketika meningkat dewasa dan tidak dibenarkan berpeleseran bagi menjaga maruah dan adat. Namun begitu, dapat dilihat pada masa itu, pelajaran agama telah diterapkan sejak kecil lagi dan mungkin disebabkan oleh pengaruh islam yang begitu meluas sehingga agama diletakkan sebagai pendinding diri dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.

Namun sebelum persekolahan Hamid tamat, Haji Jafar telah meninggal dunia dan ini bererti Hamid harus berhenti belajar kerana sudah tiada orang yang membiayainya. Musibah kedua yang ditimpa oleh Hamid pula ialah ibunya meninggal dunia dan ini menjadikan Hamid sebagai anak yatim piatu. Setelah Haji Jafar meninggal, Hamid jarang ke rumah kerana menurut adat seorang lelaki tidak manis berkunjung ke rumah wanita yang bukan muhrimnya. Di Indonesia pada ketika itu, majoriti kaumnya adalah beragama Islam dan oleh hal yang demikian, adat dan agama menjadi tunjang utama dalam melakukan sesuatu.

Menelaah novel yang ditulis dalam tahun 1930-an ini, terdapatnya kisah cinta yang disulam oleh perbezaan darjat dan rasa rendah diri. Sekaligus dapat dilihat dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini, ternyata Hamid dan Zainab saling mencintai namun tidak berani untuk meluahkan kerana Hamid bimbang akan status sosialnya yang jauh lebih rendah dibandingkan dengan Zainab lalu membawa diri ke kota suci Mekah.

Novel ini turut mempersoalkan tentang perkahwinan sedarjat mahupun sekufu. Ini dapat dilihat apabila Ibu Zainab telah menjodohkan anak gadisnya itu dengan saudara jauh suaminya agar harta bendanya tidak jatuh ke tangan orang lain. Namun anak gadisnya itu tidak setuju dengan pilihan ibunya.

Selain daripada itu, dapat dilihat dalam novel yang dihasilkan pada zaman 1930-an ini yang mana terjadinya kisah tragis antara watak utama di dalam novel. Zainab yang dikatakan sakit menderita kerana kerinduan kepada Hamid telah meninggal dunia di Indonesia manakala Hamid yang dalam pada itu kelihatan tabah menghadapi segala yang berlaku namun akhirnya meninggal dunia di bawah lindungan Ka’bah ketika sedang melakukan Tawaf. Cinta Hamid pada Zainab telah kesampaian, tetapi tak dapat menikah kerana adanya jarak adat budaya yang memisahkan mereka berdua.

Jelas menunjukkan bahawa pada masa itu, senario di dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah tidak banyak bezanya dengan senario masyarakat pada zaman sebelum perang dunia ke-2 di Indonesia pada ketika itu. Dapat disimpulkan disini bahawa masyarakat pada zaman tersebut mengalami kemiskinan namun masih terdapat golongan yang kaya.

Dalam pada itu, masyarakat pada zaman itu amat mementingkan darjat dan keturunan kerana mereka memandang tinggi bagi golongan yang berharta dan menjaga adat yang tidak membenarkan perkahwinan antara golongan miskin dengan golongan kaya ini. Masyarakat pada zaman itu juga memantau batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan terutamanya anak gadis yang meningkat remaja yang tidak dibenarkan keluar rumah mahupun berpeleseran kerana dikatakan tidak manis. Namun begitu anak gadis yang datang dari keluarga yang berada sahaja yang mengamalkan adat begitu, bagi anak gadis dari keluarga yang miskin, mereka perlu keluar mencari nafkah untuk menyara kehidupan mereka berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan di Indonesia pada masa itu.

Namun begitu, agama Islam dikatakan berkembang di Indonesia pada zaman itu, dan ini menunjukkan didikan dan ajaran yang bersifat islamik sudah diterapkan dalam diri setiap individu sejak kecil lagi. Masyarakat pada masa itu juga sudah menjadikan agama Islam sebagai pelengkap hidup mereka sehingga ada yang sempat menunaikan haji di bumi Allah iaitu Mekah bagi memenuhi tuntutan rukun Islam yang kelima iaitu seruan haji bagi yang berkemampuan.

2.0 LATAR BELAKANG KAJIAN

Terdapat ramai sarjana yang telah mengkaji novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka ini. Ini kerana karya ini mempunyai keunikannya yang tersendiri sama ada dari segi teknik penyampaian mahupun dari segi isi yang ingin disampaikan. Terkait dengan hal ini, saya menelaah novel ini dan ingin mengkajinya dari sudut nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat di dalamnya. Bagi pendapat saya, terdapat banyak nilai yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan melalui novel ini.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, nilai membawa maksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai juga turut didefinisikan sebagai sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan, dan lain-lain).

(Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga 1994 : m/s 930)

Nilai merupakan salah satu aspek terpenting yang diungkapkan oleh pengarang dalam sesebuah karya kesusasteraan terutamanya novel. Nilai merupakan sifat ketinggian sama ada pemikiran, agama, kemasyarakat dan sebagainya yang terdapat dalam sesebuah karya. Biasanya nilai diolah berdasarkan sesuatu motif tertentu yang terdiri daripada objek, peristiwa kejadian dan sebagainya.

Nilai biasanya dapat dikesan dari novel mula dibaca sehinggalah ke akhirnya. Terdapat pelbagai nilai yang dihasilkan sama ada melalui :

  • Perwatakan watak-watak dalam sesebuah cerita
  • Peristiwa, kisah, suasana dan unsur-unsur lain.
  • Persoalan-persoalan yang disungguhkan dan kemudian mendapatkan pokok persoalannya secara keseluruhan
  • Plot cerita

(Diperoleh pada September 10, 2008 daripada laman web Forum EKPKM: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358)

Terdapat pelbagai nilai-nilai yang terkandung dalam sesebuah karya sastera sama ada nilai positif mahupun nilai negatif. Di antara nilai yang selalu digunakan dalam menghasilkan sesebuah karya kesusasteraan adalah seperti nilai kemanusiaan, nilai kemasyarakatan, nilai kebudayaan, nilai keagamaan, nilai sosial dan nilai moral.

(Diperoleh pada September 11, 2008 daripada laman web Forum Schools: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20-%20unsur%20sastera.htm)

Nilai yang terdapat dalam sesebuah novel dapat memberikan penghayatan yang lebih kepada para pembaca kerana kebanyakkan nilai yang diterapkan dalam sesebuah karya merupakan nilai yang terdapat di sekeliling masyarakat pada hari ini.

Saya berpendapat bahawa dengan mengkaji nilai kemanusiaan dalam sesebuah karya akan memberikan kesan yang besar bagi diri saya sendiri. Berdasarkan sumber yang dikaji iaitu novel Di Bawah Lindungan Ka’bah, selain daripada mendapati bahan bacaan ini mempunyai keunikan yang tersendiri, karya sastera ini bukan sekadar luahan perasaan penulis, tetapi juga pengalaman zahir dan batin oleh penciptanya. Berdasarkan penelitian, teks sastera itu mengandung pelbagai aspek antara lainnya ialah aspek psikologis, sosiologis, filsafat, dan ajaran-ajaran moral atau budi pekerti. Di Bawah Lindungan Ka’bah ternyata mengandungi ajaran moral atau pendidikan budi pekerti yang bermanfaat bagi pembaca. Kajian mengenai nilai kemanusiaan dalam teks ini dirasakan berbaloi kerana disamping saya dapat memupuk nilai-nilai positif dalam teks bagi diri saya, saya juga dapat mempraktikkan nilai-nilai tersebut dalam amalan seharian saya.

2.1 KAJIAN LALU

Terdapat banyak kajian lalu berdasarkan teks ini, namun saya hanya memfokuskan kepada kajian yang dilakukan oleh seorang sarjana dari Indonesia iaitu Mohammad Syafiudin Mashud dengan tajuk kajiannya “Nilai-nilai etika agama yang terkandung di dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah.”  Saya tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh saudara Syafiudin kerana beliau hanya memfokuskan tentang nilai etika agama manakala kajian saya lebih kepada nilai-nilai kemanusiaan.

Saudara Mohammad Syafiudin Mashud telah mengkaji novel ini dengan menggunakan kerangka teori tentang etika agama rumusan Prof. Dr. Musa Asy’rie.

Musa Asy’arie mengklasifikasikan etika agama sebagai salah satu sub kajian dalam etika Islam, dan selanjutnya beliau membahagi kajian etika agama tersebut menjadi empat sub kajian; pertama, etika hubungan antara manusia dengan Tuhan; kedua, etika hubungan antara manusia dengan manusia; ketiga, etika hubungan antara manusia dengan alam; dan terakhir, etika hubungan manusia dengan hasil-hasil ciptaan manusia. Keempat bidang kajian tersebut diungkapkan dalam kajian Mohammad Syafiuddin Mashud. Menurut beliau, sejauh kajian mengenai keempat bidang nilai etika agama sebagaimana dalam kerangka teori rumusan Musa Asy’rie berisikan tentang; 1. sikap dan posisi diri manusia terhadap Tuhannya bercorak sufistik; 2. tentang persamaan diantara sesama manusia, dilakukan dengan kritik terhadap adat; 3. alam sekitar dijadikan sebagai sarana dzikir; dan 4. kritikan terhadap orang-orang yang mendewakan dan terbelenggu oleh hasil ciptaan manusia, yaitu berupa kebiasaan dan hukum adat yang bertentangan dengan agama dan merugikan manusia. Jadi keempat bidang etika agama tersebut terkandung dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka.

3.0 KAEDAH PENYELIDIKAN

Kaedah penyelidikan adalah satu cara untuk mendapatkan data yang akan dikaji atau dianalisis. Dengan itu, kaedah yang akan dilakukan adalah mendapatkan atau menjalankan kajian terhadap permasalahan kajian yang telah dipilih. Dalam kajian ini, pelbagai cara akan digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai kajian ini. Kaedah kajian yang telah digunakan adalah :

Kaedah Penyelidikan : Kajian Teks

Kaedah penyelidikan utama dalam kajian ini ialah kajian teks. Teks yang digunakan ialah novel Di Bawah Lindungan Ka’bah dimana teks tersebut merupakan media utama dalam kajian ini. Teks ini telah dibaca sebanyak beberapa kali agar dapat membuat kajian yang tidak menyimpang dari apa yang dikehendaki.

Kaedah Penyelidikan : Kajian Perpustakaan

Bagi menyiapkan kajian ini, kaedah ke perpustakaan turut digunakan untuk mendapatkan maklumat berhubung dengan kajian. Antara perpustakaan yang dirujuk untuk mendapatkan maklumat adalah seperti Perpustakaan Tengku Bainun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Manakala bahan-bahan yang akan menjadi rujukan adalah seperti buku-buku rujukan, jurnal-jurnal, dan majalah yang mempunyai kaitan dengan tajuk kajian ini. Segala maklumat berkaitan yang diambil daripada buku-buku, juga daripada nota-nota kuliah yang diberikan oleh pensyarah dan telah diolah, dianalisa, disusun, dan digarap sebaik mungkin dan adanya menggabungjalinkan idea-idea dan pandangan sendiri. Kaedah ini dipilih bertujuan untuk membantu dalam menambah bahan yang sedia ada dan juga dapat menokoktambahkan bahan secara rapi dan berkesan.

4.0 ANALISIS KAJIAN

Terdapat pelbagai nilai kemanusiaan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka yang banyak memberikan kesan yang mendalam bagi novel tersebut. Di antara nilai-nilainya yang dapat dikesan melalui penelitian terdapat novel ini adalah seperti nilai kepentingan agama, nilai kasih sayang, nilai ketabahan hati, nilai simpati, nilai persahabatan yang sejati, nilai kepentingan adat, nilai kepentingan ilmu dan nilai berdikari.

Salah satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini adalah nilai kepentingan agama. Nilai kepentingan agama ini dapat dilihat dengan jelas pada awal cerita sehinggalah cerita ini berakhir. Dalam pada itu, agama dikatakan penting bagi diri setiap individu. Pada zaman sebelum perang dunia ke-2, masyarakat di Indonesia pada ketika itu telah mempunyai pegangan agama yang kukuh disamping taat dalam menjalankan perintah Allah. Terdapat segelintir daripada masyarakat pada zaman tersebut yang menjadi ahli sufi mahupun ahli agama yang menjalankan dakwah islamiah. Melalui novel ini, nilai kepentingan agama dapat dilihat dalam setiap watak sama ada watak utama mahupun watak sampingan. Sebagai contoh dalam diri masyarakat pada zaman itu yang berlumba-lumba mahu menunaikan seruan haji bagi mereka yang berkemampuan. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam novel ini seperti :

Contoh:

Setahun sebelum itu telah naik haji pula dua orang yang kenamaan dari negeri kita. Maka tersiarkan keamanan Negeri Hejaz.Karena itu banyak orang yang berniat mencukupkan Rukun Islam yang kelima itu. Tiap-tiap kapal haji yang berangkat menuju Jedah penuh sesak membawa jemaah haji.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:5)

Selain itu, pegangan yang kuat kepada agama dapat menimbulkan rasa keinsafan dalam diri setiap individu.

Contoh :

Kemudian saya insaf, bahawa alam ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan kekuasaannya. Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangiskan mesti ada pula.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:44)

Dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah, nilai kasih sayang dapat dilihat dalam pelbagai situasi sama ada kasih sayang seorang anak kepada ibunya, kasih sayang antara suami isteri, kasih sayang antara pemuda dan pemudi, kasih sayang antara sahabat serta kasih sayang terhadap masyarakat dan bangsanya. Nilai kasih sayang yang ditonjolkan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini adalah sangat meluas dan terserlah contohnya melalui watak Hamid dan ibunya. Ibunya terlantar sakit, namun demi menasihati anaknya dan tidak mahu anaknya kecewa, dan walaupun Hamid tidak menceritakan perasaannya kepada ibunya namun naluri seorang ibu mengatasi segala-galanya.

Contoh :

”Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan Tuhan untuk menyampaikan pembicaraan ini kepadamu.”

”Apakah yang ibu maksudkan?”

”Sebagai seorang yang telah lama hidup, ibu telah mengetahui rahasia pada dirimu.”

”Rahasia apa Ibu?”

”Engkau cinta pada Zainab!”

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:30)

Selain itu, terdapat juga nilai ketabahan hati dalam novel ini. Tabahnya hati seorang pemuda bernama Hamid dalam melayari hidupnya yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Semenjak kecil beliau sudah kehilangan ayah, kemudian disusuli pula dengan kehilangan Haji Ja’far yang menyara pembelajarannya sekaligus dengan kehilangan ibu tercinta dan akhir cerita apabila orang yang dicintainya Zainab turut sama meninggal dunia.

Contoh :

Belum berapa lama setelah budiman itu menutup mata, datang pula musibah baru kepada diri saya. Ibu saya yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi hidup bertahun-tahun telah ditimpa sakit.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:29)

Dalam novel ini juga, terdapatnya nilai simpati terutamanya terhadap golongan yang miskin. Hal ini dapat dilihat dari watak Haji Ja’far yang begitu baik hati dan rendah diri dalam kehidupannya. Beliau sanggup menyekolahkan Hamid dan menanggung segala perbelanjaan Hamid serta ibunya. Ini menyebabkan Haji Ja’far sangat disenangi oleh Hamid dan ibunya serta masyarakat di sekelilingnya turut memandang tinggi kemurahan hati beliau.

Contoh :

Pada suatu pagi saya datang ke muka ibu saya dengan perasaan yang sangat gembira, membawa kabar suka yang sangat membesarkan hatinya, yaitu besok Zainab akan diantarkan ke sekolah dan saya dibawa serta. Saya akan disekolahkan dengan belanja Engku Haji Ja’far sendiri bersama-sama anaknya.

Mendengar perkataan itu, terlompatlah air mata ibuku karena suka cita, kejadian yang selama ini sangat diharap-harapkannya.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:18)

Nilai persahabatan sejati turut diwujudkan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka ini. Ini dapat dilihat persahabatan yang wujud dalam diri aku (penulis), Hamid dan juga jemaah haji yang lain. Ini dapat dilihat kerana Hamid menceritakan segala masalah iaitu kisah kehidupannya kepada aku (penulis) dalam novel ini walaupun baru mengenalnya. Persahabatan yang dibina oleh mereka diakhiri dengan kematian Hamid di tanah suci dan tatkala Hamid menghembuskan nafas terakhir juga, sahabat-sahabatnya berada disisi dan mengusung jenazah malah permulaan cerita ini adalah dimulakan dengan surat dari sahabat dan diakhiri dengan aku (penulis) mengziarahi perkuburan Hamid. Ternyata Hamka menggarapkan nilai persahabatan yang tinggi dalam novel ini.

Contoh :

Setelah nyata wafatnya, maka dengan tidak menunggu lama, kedua Badui itu memikul mayat itu ke rumah syekh kami. Dan mereka berdualah juga yang mengurus dan memikulnya sampai ke kubur.

Pada hari itu juga selesailah mayat sahabat yang dikasihi itu dikuburkan di Perkuburan Ma’ala yang masyhur.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:69)

Di samping itu, terdapat juga nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam novel ini. Sama ada nilai kesetiaan suami isteri, kesetiaan antara pasangan kekasih mahupun kesetiaan dalam persahabatan. Nilai itu dapat dilihat sama ada dalam diri Hamid, Zainab mahupun ibu Hamid sendiri.

Contoh :

Meskipun masa itu ibu masih muda dan ada juga dua tiga orang dari kalangan saudagar-saudagar atau orang-orang berpangkat yang memintanya menjadi isteri tetapi semuanya telah ditolaknya dengan perasaan yang sangat terharu. Hatinya masih belum lupa kepada almarhum ayah, semangatnya boleh dikatakan telah mengikuti ke perkuburan.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:13)

Nilai kepentingan ilmu turut terdapat dalam novel ini. Masyarakat sebelum perang dunia kedua sudah pun memandang tinggi kepentingan ilmu dalam kehidupan sehari-hari. Ilmu dikatakan penting sama ada dalam kehidupan sekarang mahupun akan datang tidak kiralah ilmu fardu ain mahupun fardu kifayah. Akan tetapi, melihat senario pada masa itu, hanya golongan kaya dan berada sahaja yang mementingkan ilmu dalam kehidupan kerana mereka mempunyai wang untuk membiayai persekolahan dan pembelajaran anak-anak. Difahamkan keadaan ekonomi pada waktu tersebut berada pada tahap yang kurang memberangsangkan sehinggakan golongan yang miskin tidak mampu untuk bersekolah dan keadaan itu masih berlaku pada dunia hari ini. Dalam novel ini pula, dapat dilihat Haji Ja’far yang begitu mementingkan pendidikan anaknya Zainab dan juga Hamid sehingga sanggup menampung segala pembelanjaan Hamid dan ibunya. Malah ibunya walaupun dalam kalangan golongan yang miskin tetapi berusha dan bercita-cita mahu menghantar Hamid ke sekolah.

Contoh :

Pada suatu pagi saya datang ke muka ibu saya dengan perasaan yang sangat gembira, membawa kabar suka yang sangat membesarkan hatinya, yaitu besok Zainab akan diantarkan ke sekolah dan saya dibawa serta. Saya akan disekolahkan dengan belanja Engku Haji Ja’far sendiri bersama-sama anaknya.

Mendengar perkataan itu, terlompatlah air mata ibuku karena suka cita, kejadian yang selama ini sangat diharap-harapkannya.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:18)

Nilai seterusnya merupakan nilai berdikari dimana nilai ini terdapat dalam diri Hamid dan ibunya. Dapat dikaitkan dengan senario pada zaman itu yang kehidupannya bagi golongan bawahan yang tidak berapa terurus dan perlu berdikari untuk mencari rezeki sesuap nasi bagi mengisi perut dan menampung perbelanjaan harian. Malah masyarakat pada zaman tersebut tidak ramai yang mempunyai kerjaya yang tetap dan kebanyakkannya menjadi peniaga di tepi-tepi jalan. Hal ini berikutan turut berlaku pada Hamid dan ibunya dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah karya Hamka ini.

Contoh :

Setelah saya agak besar, saya lihat banyak anak-anak yang sebaya saya menjajakan kue-kue; maka saya mintalah kepadanya supaya dia sudi membuat kue-kue itu, saya sanggup menjualkannya dari lorong ke lorong, dari satu beranda rumah orang ke beranda yang lain, mudah-mudahan dapat meringankan agak sedikit tanggungan yang berat itu.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:14)

Nilai terakhir adalah merupakan nilai kepentingan adat. Nilai kepentingan adat ini digarap oleh Hamka menjadikan pemikiran dalam novel ini. Masyarakat pada zaman sebelum perang dunia ke-2 amat mementingkan adat dan budaya kerana memang menjadi kewajipan masyarakat pada masa itu memandang adat sebagai warisan dan sesuatu yang perlu dituruti oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa adat yang dikaitkan dalam novel ini salah satunya adat dalam perhubungan sosial antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya untuk duduk satu rumah mahupun sering berkunjung di rumahnya. Bagi masyarakat zaman itu, pergaulan antara lelaki dan perempuan amat terbatas terutamanya apabila lelaki dan perempuan itu datangnya dari golongan berada mahupun golongan terpelajar. Adat merupakan jati diri sesebuah bangsa. Dalam novel ini dapat dilihat bahawa Zainab dan Hamid begitu menjaga adatnya sehinggakan membataskan perjumpaan antara mereka di rumah walhal Hamid merupakan anak angkat kepada Haji Ja’far namun mereka bukanlah muhrim.

Contoh :

Sebagai kau tahu, kita telah pun tamat dari sekolah, maka adat istiadat telah mendindingkan pertemuan kita dengan laki-laki yang bukan mahram, bukan saudara atau famili karib, waktu itulah saya merasai kesepian yang sangat.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:53)

Terdapat juga dimana adat yang tidak membenarkan anak gadis yang meningkat remaja untuk tidak bersosial dan duduk di rumah sahaja. Mereka bagaikan burung yang berada di dalam sangkar yang selalu dikurung dan hanya dibenarkan keluar sekiranya terjadi hal penting sahaja. Ini merupakan salah satu adat melayu yang masih digunapakai sehingga ke hari ini. Dalam novel ini dapat dilihat dalam watak Zainab yang walaupun beliau sudah menamatkan pelajaran namun sekiranya beliau ingin menyambungnya, guru akan dijemput ke rumah.

Contoh:

Yang berasa sedih amat, adalah anak-anak perempuan yang akan masuk pingitan; tamat sekolah bagi mereka artinya suatu sangkar yang telah tersedia buat seekor burung yang bebas terbang.

Zainab sendiri, sejak tamat sekolah, telah tetap dalam rumah, didatangkan baginya guru dari luar yang akan mengajarkan berbagai-bagai kepandaian yang perlu bagi anak-anak perempuan, seperti menyuji, merenda, memasak dan lain-lain. Petang hari ia menyambung pelajarannya dalam perkara agama.

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:23)

Sebagai pengakhiran, nilainya ialah mengenai adat perbezaan taraf dan darjat seseorang individu. Seperti yang diketahui, taraf dan darjat bukanlah perkara yang dipandang remeh oleh sesetegah golongan atasan mahupun bawahan. Sebagai contoh dalam novel ini, perbezaan taraf dan darjat menyebabkan cinta antara dua insan terhalang sebegitu sahaja yang akhirnya memakan diri sendiri. Perbezaan taraf dan darjat ini bukan lagi baru dalam masyarakat ini, bagi golongan miskin sejak kecil lagi mereka telah diajar supaya tidak terlalu rapat dengan golongan kaya. Begitulah juga dengan golongan kaya. Bagi mereka, perbezaan taraf dan darjat ini dianggap terlalu penting sehinggakan tidak menghiraukan hati dan perasaan. Dapat dilihat dalam diri Hamid yang begitu merendah diri kerana jatuh cinta akan perempuan yang jauh lebih tinggi darjat dan taraf dari dirinya. Tapi, hanya jauhari yang mengenal manikam, cinta itu buta dan cinta tidak kenal apa itu adat dan taraf hanya manusia dan masyarakat yang membeza-bezakannya. Dan akhirnya, taraf dan darjat tersebut terkubur bersama jasad biarpun cinta itu tetap utuh di sanubari.

Contoh :

“Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu, jangan ditibulkan-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga, bahwa emas tak setara dengan Loyang, sutra tak sebangsa dengan benang.”

(Di Bawah Lindungan Ka’bah, 1999:31)

5.0 RUMUSAN KAJIAN

Tuntasnya, nilai merupakan salah satu aspek terpenting yang penghasilan sesebuah karya kerana nilai merupakan sifat ketinggian sama ada pemikiran, agama, kemasyarakat dan sebagainya. Novel Di Bawah Lindungan Ka’bah merupakan sebuah novel yang sarat dengan pelbagai nilai yang dipamerkan sama ada nilai-nilai yang positif mahupun nilai-nilai yang negatif. Nilai-nilai yang terkandung di dalam novel ini dapat dipertontonkan untuk generasi akan datang bagi melahirkan kesedaran dalam diri generasi sekarang.

Kepelbagaian nilai positif yang didukung oleh masyarakat pada zaman tersebut jelas menunjukkan bagaimana kehidupan mereka pada masa itu dan nilai hidup inilah yang diwarisi dari nenek moyang ini seterusnya diterapkan ke generasi yang mendatang. Penerapan nilai-nilai ini adalah untuk memberikan kesedaran dan meningkatkan lagi keperibadian masyarakat Melayu. Manakala nilai-nilai yang negatif haruslah disingkir dari kehidupan sekarang.

Secara keseluruhannya, nilai yang positif sebagai gaya hidup yang dipegang oleh sesebuah masyarakat haruslah dicontohi dan dijadikan pegangan bagi generasi muda zaman sekarang.

6.0 BIBLIOGRAFI

Hamka, 1999. Di Bawah Lindungan Ka’bah. Jakarta : PT Bulan Bintang

Parnikal, Boris, 1995. Perkembangan Sastera Nusantara Serumpun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur

Siri Lestari Sastera, 2006. Sejarah Kesusasteraan Melayu. Selangor : Dawama Sdn. Bhd

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa dan Sastera. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Nik Safiah Karim, Arbak Othman (2005). Kamus Komprehensif Bahasa Melayu. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn Bhd.

(Diperoleh pada Ogos 25, 2009 daripada laman web Forum EKPKM: http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358)

(Diperoleh pada Ogos 27, 2009 daripada laman web Forum Schools: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20sastera.htm)

(Diperoleh pada Ogos 27, 2009 daripada laman web Purwantini Fakultas Ilmu Budaya Universitas Airlangga Surabaya : http://www.daneprairie.com.)

Leave a comment »

Pantun Warisan Melayu

INTERACTIVE DESIGN

 

  • Tugasan : Hasilkan sebuah laman web
  • Disediakan oleh : Yati Yula
  • Disemak oleh : Puan Nadia Akma

———————————————————————————————————————

Project Proposal

icon_sirih3b2

PANTUN WARISAN MELAYU

 

Site Title

 

Dalam melengkapkan tugasan kursus Interactive Design (SMS 3053) pada kali ini, saya telah memilih tajuk “Pantun Warisan Melayu”. Tajuk ini dipilih setelah dibincangkan dengan beberapa orang teman yang turut sama menyumbang informasi dan bahan dalam merancang laman web ini. Berpandukan pada zaman sekarang, pantun biasanya digunakan di majlis keramaian, dalam menzahirkan perasaan dan sebagainya.

 

Pantun yang diterima umum sebagai puisi ciptaan asli orang Melayu ; bukan saduran atau penyesuaian daripada puisi-puisi Jawa, India, Cina dan sebagainya (Harun Mat Piah, 2000). Mulanya erti pantun ialah umpama, sepantun maksudnya seumpama (Ghazali Dunia, 1992). Walau bagaimanapun, bagi R.O.Winstedt (1991) banyak keraguan timbul bagi menentukan asal usul perkataan pantun. Liaw Yock Fang (1993) pula menyebutkan pantun pada mulanya adalah senandung atau puisi rakyat yang dinyanyikan. Malah tambah beliau, sampai sekarang pantun masih dinyanyikan.

 

Perkataan pantun dikatakan berasal daripada Indonesia yang dianggap sebagai satu bentuk karma dari perkataan Jawa parik yang bererti pari, yang membawa maksud paribhasya dalam bahasa Sanskrit atau peribahasa dalam bahasa Melayu (R.O.Winstedt, 1992). Menurut Dr. R.Brandstetter pula, perkataan pantun berasal daripada kata akar tun yang boleh dikesan penggunaan kata dalam bahasa Jawa iaitu tuntun, dalam bahasa Tagalog disebut tonton yang diucapkan dalam aturan yang tertentu (R.O.Winstedt, 1992). Dalam masyarakat Sunda, pantun bermaksud satu cerita (karangan) panjang berirama yang dinyanyikan dengan iringan muzik. Manakala dalam masyarakat Melayu pula, pantun bererti kuantrain, iaitu puisi yang tersusun dalam struktur empat baris serangkap.

 

Pantun merupakan karya asli ciptaan masyarakat Melayu di Nusantara, khususnya dalam kalangan masyarakat Jawa kuno, Sunda, Tagalog dan Melayu. Pantun yang dimaksudkan ini pula mempunyai strukturnya yang khusus dan berirama.

Pantun merupakan kelompok karya puisi tradisional warisan asli masyarakat Melayu dan merupakan puisi Melayu yang paling popular berbanding dengan jenis-jenis puisi tradisional Melayu lain. Populariti pantun melewati zaman tradisionalnya, malah hadir dalam masyarakat Melayu moden dengan penerusan dari aspek tema dan fungsi. Dari aspek penyebaran, memperlihatkan perubahan yang lebih besar, apabila pantun sudah diperluaskan daripada tradisi lisan, tulisan dan kemudiannya dalam bentuk biasan ekoran perkembangan era siber.

 

Pantun dapat dikelaskan berdasarkan kepada bentuk/struktur, tema/isi, fungsi dan penyebarannya. Daripada pengkelasan inilah maka timbullah apa yang disebut pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan sebagainya. Dari segi tema pula muncullah jenis-jenis pantun seperti pantun nasihat, pantun jenaka, pantun budi dan sebagainya. Pengkelasan dari segi tema dan isi pantun boleh melahirkan penglompokan pantun yang lebih sistematik. Pantun Melayu tradisional telah dikelaskan kepada beberapa bahagian iaitu:

 

  • Pantun Kanak-Kanak
  • Pantun Cinta dan Kasih Sayang
  • Telatah dan Cara Hidup Masyarakat
  • Pantun Teka-teki
  • Pantun Puji-pujian / Sambutan
  • Pantun Nasihat, Agama dan Adat
  • Pantun Naratif / Cerita

 

 

 

Site Specification

 

Dari segi spesifikasi laman web yang dicadangkan dalam proses rekabentuk antaramuka pula dengan menekankan aspek penghasilan antaramuka pengguna, pemilihan butang atau ikon kawalan, penetapan ciri-ciri teks, grafik dan audio. Aspek-aspek ini perlulah bersesuaian dengan pengguna sasaran dan terdapatnya konsep keseimbangan. Perlu diketahui dalam prinsip membuat rekaan laman web yang baik terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira terutamanya pandangan pengguna pada maklumat yang terpapar pada skrin. Unit pelayaran iaitu hubungan antara maklumat utama dengan maklumat sampingan (The unit of navigation) dan butang navigasi juga harus bersifat mesra pengguna iaitu dapat memudahkan pengguna untuk melayari laman tersebut.

 

Pembahagian kedudukan skrin merupakan elemen yang perlu diberi perhatian. Skrin selalunya terbahagi kepada kawasan kandungan dan kawasan navigasi dan laman web ini menggunakan dua pertiga (2/3) untuk kandungan dan satu pertiga (1/3) untuk navigasi dan menu.

 

Terdapat juga konsep keseimbangan dan perspektif dalam laman web ini. Keseimbangan pada skrin merujuk kepada pengagihan nilai optikal (keupayaan elemen untuk menarik mata pengguna) dan perspektif pula menyediakan mata pengguna dengan posisi-posisi relatif sesuatu elemen pada skrin untuk menghalang skrin tersebut daripada menjadi ‘mendatar’. Laman web ini mempunyai perspektif belakang (untuk elemen yang kurang memerlukan fokus pengguna) dan perspektif hadapan (untuk elemen yang memerlukan lebih fokus daripada pengguna).

 

Laman web ini turut menggunakan strategi pengumpulan yang baik dimana maklumat yang berkaitan dikumpulkan di dalam beberapa buah kotak yang berada dibawah. Tajuk setiap seksyen (menu utama) diletakkan di bahagian yang sama iaitu bahagian atas. Penggunaan panel navigasi yang diletakkan di tempat yang konsisten di atas skrin dapat memudahkan pengguna melihatnya dengan segera dan menghubungkaitkan fungsi-fungsinya tanpa banyak masalah.

 

Dari segi penggunaan teks (font), pemilihan dibuat dengan mengambil kira aspek warna teks, saiz, jenis teks (font) dan jarak di antara setiap baris teks agar bersesuaian dengan sasaran pengguna mahupun konsep yang digunakan. Ini kerana teks merupakan salah satu elemen yang penting dalam merekabentuk sesebuah laman web. Teks membenarkan maklumat disampaikan kepada pengguna dengan berkesan dan lengkap, namun begitu antaramuka yang terlalu padat dengan teks akan menyebabkan pengguna merasa cepat bosan. Penggunaan grafik atau elemen lain bagi menggantikan elemen-elemen teks dapat digunakan. Dalam laman web ini, beberapa jenis teks (font) akan digunakan seperti Georgia, Monotype Corsiva, dan Arial.

 

Penggunaan audio atau bunyi juga memainkan peranan yang penting dalam menarik perhatian para pengguna. Audio atau bunyi lazimnya digunakan untuk memainkan suara, muzik atau kesan latar kepada laman web. Audio latar belakang yang bersesuaian dengan konsep akan dapat mengekalkan para pengguna untuk terus melayari laman web tersebut. Kawalan untuk audio juga dimasukkan agar para pengguna dapat mengawal dan menggunakannya dengan senang. Dalam laman web ini, berdasarkan konsep pantun warisan Melayu, penggunaan audio/muzik irama tradisional akan digunakan seperti lagu Pantun Budi nyanyian Tan Sri Dato` S.M. Salim dan lagu Fatwa Pujangga nyanyian Aisyah akan meninggalkan kesan dalam hati para pengguna. Kesan Latar juga dimasukkan dalam laman web ini seperti penggunaan muzik Kitaro dan alunan seruling dari Mohram.

 

Dari segi penggunaan elemen grafik pula, ia mampu menarik minat para pengguna dan penglihatan mereka tidak tertumpu ke arah teks (font) sahaja yang akan dapat membosankan para pengguna. Dalam laman web ini, penggunaan grafik tidaklah terlampau banyak kerana ianya lebih tertumpu kepada isi kandungan (content) yang ingin disampaikan kepada pengguna.

 

Elemen warna memastikan peranan yang penting bagi menarik minat para pengguna untuk terus melayari sesebuah laman web. Warna yang digunakan perlulah bersesuaian dengan citarasa, peringkat umur dan konsep laman web dan bagi tulisan pula, warna yang bersesuaian digunakan bagi memudahkan pengguna membacanya serta focus pada apa yang dilihat. Latar belakang laman web ini menggunakan pelbagai warna warisan seperti hijau, coklat dan hitam serta mempunyai kesesuaian warna antara elemen-elemen yang digunakan. Penggunaan warna yang terlalu ekstrim dielakkan kerana akan menganggu tumpuan pengguna terhadap maklumat yang dicapai. Menurut Patrizia Nanni, (2004) warna boleh menggambarkan kekecewaan atau kegembiraan mengikut siapa yang menggunakannya. Tambahnya lagi keberkesanan penggunaan warna boleh mewujudkan komunikasi dan aspek estetika kepada perisian yang dibina dan secara tidak langsung mewujudkan kepuasan pengguna. Penggunaan warna warna adalah satu cara untuk menaikkan emosi para pengguna.

 

Ruang putih yang ada pada laman web juga perlu dititikberatkan. Ia merujuk kepada jumlah ruang putih yang diperuntukkan di antara teks dan grafik pada sesuatu muka surat. Lebih banyak ruang putih di antara teks dan grafik, lebih mudah tumpuan yang boleh diberikan oleh pengguna. Ruang putih sepatutnya digunakan juga untuk mengarah perhatian ke titik fokus sesuatu skrin.

 

Nilai-nilai keindahan yang terdapat pada sesebuah laman web membuatkan pandangan pengguna akan terus tertumpu pada layar skrin. Nilai keindahan seperti keseragaman bentuk, warna, gaya teks dan tema aplikasi dapat memikat hati para pengguna.

 

 

Developer

 

Dalam menjayakan laman web ini, saya menggunakan sepenuhnya pengetahuan yang saya ada dalam proses penghasilan antaramuka pengguna, pemilihan butang atau ikon kawalan, penetapan ciri-ciri teks, grafik dan audio. Namun begitu, terdapat beberapa orang rakan yang turut sama menyumbang bahan dan berkongsi idea tentang konsep ini. Mereka banyak membantu saya dalam menyediakan dan mengumpul maklumat serta berkongsi ilmu tentang apa yang dipelajari semasa di dalam dan di luar kelas.

  • Pereka Grafik : Yati Yula
  • Penata Audio : Yati Yula, Nurizzah
  • Pengumpul Bahan : Yati Yula, Nurizzah, Fellaz
  • Ilustrasi Photoshop : Yati Yula
  • Pengaudit : Yati Yula

 

Rationale or Focus

 

Kandungan yang terdapat dalam laman web “Pantun Warisan Melayu” adalah seperti koleksi pantun iaitu beberapa jenis pantun seperti pantun cinta, pantun nasihat, pantun budi dan lain-lain. Turut terdapat dalam laman web ini ialah ruangan berbalas pantun diantara para pengguna dan ruangan artikel tentang pantun.

 

Dalam koleksi pantun yang disediakan, beberapa buah pantun dalam pelbagai jenis telah disediakan untuk para pengguna sebagai contoh pantun kanak-kanak, pantun teka-teki, pantun adat dan cara hidup masyarakat, pantun kasih sayang, pantun puji-pujian, pantun agama dan pantun naratif. Pantun-pantun ini kebanyakkan diwarisi turun-temurun dari satu generasi ke generasi yang lain. Matlamat utama laman web ini adalah supaya koleksi pantun yang disediakan dapat menambahkan lagi pengetahuan yang ada tentang pantun dan dapat dijadikan sebagai panduan sama ada untuk tujuan pengajaran mahupun pembelajaran.

 

Selain itu, dalam ruangan berbalas pantun pula, para pengguna bebas untuk ‘menjual’ dan ‘membeli’ pantun dari pengguna lain. Melalui ruangan ini, dapat dilihat para pengguna menghasilkan pantun sendiri sekaligus dapat menggalakkan pemikiran yang kreatif dan kritis serta meningkatkan kemahiran kreativiti. Ruangan ini juga dapat membantu para pengguna untuk meluahkan perasaan / rasa hati dan seterusnya mendapat tindakbalas yang berguna dari para pengguna yang lain. Dan ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran masyarakat dalam penguasaan dan penggunaan pantun.

 

Dalam ruangan artikel tentang pantun pula terdapat beberapa artikel yang akan dimasukkan / di’upload’ dari semasa ke semasa sama ada oleh pereka laman web mahupun oleh pengguna yang telah mendaftarkan diri sebagai ahli laman web tersebut. Antara artikel yang dimasukkan seperti Pengkelasan Pantun, Peranan Pantun Dalam Kehidupan, Rakaman Pemikiran Dalam Kapsul Bahasa Berirama, Bengkel Pantun dan sebagainya. Ini dapat memberikan lebih informasi dan meningkatkan lagi pemahaman kepada para pengguna.

 

 

Main Elements Outline

 

Diantara sifat utama yang terdapat dalam laman web ini adalah Antara ciri-ciri yang ingin ditonjolkan melalui laman web ini adalah masyarakat menyanjung tinggi warisan Melayu. Masyarakat juga terutamanya generasi muda tidak lupa akan puisi Melayu tradisional ini sekaligus aka mempraktikkan dalam kehidupan seharian. Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan generasi muda sekarang mengambil mudah dalam memperjuangkan warisan Melayu dan terdapat segelintir daripada mereka yang langsung tidak tahu kewujudan pantun warisan Melayu. Disinilah laman web ini memainkan peranan dimana kandungan yang terkandung di dalamnya dapat memberikan sedikit-sebanyak ilmu pengetahuan tentang pantun. Selain itu, hubungan silaturrahim diantara para pengguna akan terbentuk apabila mereka saling berbalas pantun, berkongsi artikel dan meluahkan perasaan.

 

 

Target Audience

 

Sasaran utama pengguna laman web ini adalah generasi muda iaitu sebilangannya golongan remaja yang masih menuntut di alam persekolahan mahupun alam kampus. Berdasarkan peringkat umur secara tidak langsung, generasi muda terutamanya golongan remaja yang masih bersekolah mempunyai pengetahuan yang sedikit mengenai warisan Melayu ini. Bagi remaja yang menuntut di alam kampus pula, laman web ini dapat membantu mereka (terutamanya yang mengambil jurusan kesusasteraan melayu) dalam menyiapkan tugasan tentang pantun. Oleh itu, isi kandungan laman web tersebut lebih fokus kepada koleksi pantun, berbalas pantun dan artikel berkaitan pantun.

 

Golongan kanak-kanak dan dewasa juga merupakan sasaran pengguna laman web ini. Bagi golongan kanak-kanak, mereka haruslah didedahkan dengan penggunaan pantun pada peringkat awal (dengan pemerhatian ibu bapa / penjaga) agar mereka dapat mengenal warisan Melayu dan mengamalkannya kelak.

 

 

Limiting factors

 

Dalam mereka bentuk sesebuah laman web, terdapat beberapa masalah yang sememangnya tidak boleh dielakkan. Salah satunya berpunca dari diri sendiri. Kekurangan idea merupakan penghalang utama, namun begitu dengan adanya sumbangan buah fikiran daripada beberapa orang rakan, hal ini dapat diatasi.

 

Kekangan masa turut dijadikan faktor. Kekurangan masa mungkin akan mencacatkan sesebuah rekaan laman web tersebut. Dalam proses rekabentuk antaramuka, penekanan terhadap aspek penghasilan antaramuka pengguna, pemilihan butang atau ikon kawalan, penetapan ciri-ciri teks, grafik dan audio menjadikan seseorang pereka memerlukan masa yang lama untuk menyempurnakan laman web.

 

Secara amnya, laman web yang ingin dihasilkan ialah Puisi Melayu Tradisional yang terdapat pelbagai jenis, namun berdasarkan kesedaran bahawa amat perlu seseorang pengguna diperkenalkan dengan sejarah, jenis-jenis dan tokoh-tokoh, ini membuatkan saya untuk menspesifikasikan idea saya. Saya memilih untuk membuat Pantun Warisan Melayu iaitu salah satu cabang kategori yang terdapat di bawah Puisi Melayu Tradisional.

 

————————————————————————————————————————

cover-depan

cover-cd

menu-utama

hubungi-kami

Antara contoh yang telah dihasilkan

Comments (2) »

Adat Berandam, Berasah Gigi dan Berlimau

1.0 PENGENALAN

 

 

Adat Istiadat Melayu

 

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, adat bermaksud 1. peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulu kala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi), 2. cara yang sudah menjadi kebiasaan, sifat, dan kebisaan. Adat istiadat sebagai suatu tatatertib yang dilakukan dalam satu-satu upacara. Ia menjadi norma atau perlakuan sesuatu masyarakat dan menjadi pegangan yang dianuti. Adat istiadat mempunyai hubungan dengan kepercayaan keagamaan dalam masyarakat manusia pada zaman purba. Adat istiadat yang bercorak upacara atau ritual menjadi satu ciri budaya yang universal dalam kalangan pelbagai bangsa pada zaman primitif. Upacara adat bagi setiap individu bermula seawal dalam perut ibu. Bermula dengan adat melenggang perut, upacara bersalin, membelah mulut bayi, menanggalkan tali pusat, adat bercukur, memijak tanah, naik buaian, bertindik telinga bagi kanak-kanak perempuan, upacara perkahwinan dan kematian. Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan sehari-hari sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Dan kebiasaan ini telah menjadi amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini.

 

 

 

2.0 ADAT BERANDAM, BERASAH GIGI DAN BERLIMAU

 

 

Adat Berandam dan Berasah Gigi

 

Biasanya bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, adalah menjadi adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Anak dara tersebut akan diandam oleh tukang andam yang memang kerjanya mengambil upah menjadi emak pengantin dan beliaulah yang akan menguruskan semua kerja-kerja menyiapkan dan mengandam pengantin. Pengertian berandam itu ialah perempuan yang hendak dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur andam anak rambut di sepanjang dahinya. Kemudian, gigi anak dara itu akan diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat disama ratakan. Selepas diratakan, anak dara tersebut akan dibagi buah pinang untuk digigit. Semua ini dilakukan oleh orang tua-tua zaman dahulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri kepada anak dara tersebut.  Berandam dan berasah gigi diamalkan pada zaman silam, bersama-sama istiadat yang berkenaan, tiga hari atau lebih sebelum hari akad nikah. Rambut pengantin perempuan di dahi serta bulu keningnya dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini). Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilap supaya menjadikannya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang tukang andam yang juga merupakan “emak pengantin” (bukan ibu sebenar). Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, dan hanya adat berandam diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini (pengantin lelaki tidak lagi mengamalkan adat ini), manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke kedai solek yang banyak terdapat di semua bandar di Malaysia. Walaupun demikian, di kawasan-kawasan terpencil, masih terdapat orang Melayu yang mematuhi peribahasa, “Biar mati anak, jangan mati adat”.

 

Adat Berlimau

 

Setelah sempurna kedua-dua pengantin suami isteri itu menunaikan satu daripada hikmah perkahwinan, maka akan diadakan sekali lagi persandingan di atas pelamin. Namun, pengantin tidak akan dipakaikan dengan pakaian pengantin dan persandingan ini hanya melibatkan sanak saudara sahaja. Setelah bersanding, kedua-duanya akan turun duduk di bangku yang terletak di tengah tengah rumah itu dan di-sinilah dijalankan upacara mandi-mandian dan bersintok limau sebagai menandakan persatuan antara kedua pengantin suami isteri itu telah sempurna dan selamat. Setelah kedua-duanya selesai dimandi dan disintok limaukan mengikut syarat, mereka pun dibawa oleh emak pengantin ke bilik peraduan pengantin dengan keadaan suami memimpin isterinya dengan memegang sehelai sapu tangan masuk ke bilik. Manakala di luar, sekalian hadirin yang ada akan menyiram air tersebut sesama mereka sambil bersuka ria. Air yang digunakan untuk upacara ini disediakan dalam pelbagai warna bagi menambah kecantikannya dan dianggap sakral bagi masyarakat Melayu.

Kain basahan yang dipakai oleh pengantin suami isteri itu mengikut adat tidak boleh diambil oleh mereka. Kain tersebut akan dijadikan hadiah pemberian kepada emak pengantin. Menurut adat Melayu, bukan sahaja kain basahan itu tidak boleh diambil semula oleh kedua pengantin itu malah mereka juga ditegah untuk memerah sendiri kain tersebut. Ini semua bertujuan untuk membuang rasa takut atau menolak bala daripada kedua-dua pengantin itu. Kain tersebut akan diambil dan disimpan oleh emak pengantin bagi membantu membuang dan menjauhkan bala.

Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting pada zaman silam tetapi kini telah lapuk. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman silam, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam umumnya. Penyerahan bukti sebelum istiadat mandi limau adalah wajib dan amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan perceraian serta-merta.

Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin, dan terdiri daripada memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya.

Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi diamalkan sama sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang Melayu.

 

3.0 BAHAN DAN ALATAN

Bahan Yang Digunakan

Diantara bahan-bahan yang digunakan untuk adat berlimau dan adat berasah gigi ialah:

 

Adat Berlimau

Limau Nipis

10082007009

 

Daun Limau Nipis

10082007011

Beluru (asal dari pokok kayu – sekarang orang menggunakan syampu)

10082007010

Bunga

10082007012

(Bahan-bahan yang digunakan untuk tujuan berlimau seperti limau nipis, daun limau nipis, bunga-bungaan dan beluru direndam ke dalam mangkuk putih yang berisi air.)

10082007016 

 

 

Berasah Gigi

Batu Kikir

Buah Pinang

 12082007001

 

 

 

4.0 INFORMASI PENUTUR

 

 10082007006

Nama : Aminah Bt Haji Hassan (Dikenali sebagai Tok Chik)

 

Umur : 85 Tahun

 

Tarikh Lahir : Pada tahun 1922

 

Tempat Lahir : Pasir Puteh, Kelantan

 

Alamat Tempat Tinggal : Kampung Pengkalan Pauh, Pasir Puteh, Kelantan

 

Nama Suami : Yahya Bin Yaakub

 

Bilangan Anak : 4 Orang

 

Pekerjaan : Petani

 

(Pernah menjadi juru andam selama beberapa puluh tahun dan berpengalaman dalam bidang tersebut.)

 

 

 10082007008

Nama : Halimah Bt Salleh (Dikenali sebagai Mek Limah)

 

Umur : 64 Tahun

 

Tarikh Lahir : Pada tahun 1942

 

Tempat Lahir : Pasir Puteh, Kelantan

 

Alamat Tempat Tinggal : Kampung Pengkalan Pauh, Pasir Puteh, Kelantan

 

Nama Suami : Hassan Bin Daud

 

Bilangan Anak : 5 Orang

 

Pekerjaan : Petani

 

(Merupakan anak saudara Puan Aminah dan pernah menjadi juru andam di kampung beliau)

Sewaktu Sesi Temuramah Dijalankan.

10082007004 

Lokasi Temuramah :

Rumah Tok Chik dan Mek Limah di Kampung Pengkalan Pauh, Pasir Puteh, Kelantan.

 11082007

 

5.0 HASIL TEMURAMAH

 

Tempat: Kampung Pengkalan Pauh, Pasir Puteh, Kelantan

Masa     : 4:00 petang          

 

            Tepat jam 4 petang, saya yang ditemani oleh Mek Limah (Puan Halimah Bt Salleh) telah menemui Tok Chik (Puan Aminah Bt Haji Hassan) di rumah beliau yang kebetulannya riuh rendah dengan kehadiran anak dan cucu-cucunya yang baru pulang ke kampung. Saya telah dibawa untuk berjumpa dengan Puan Aminah Bt Haji Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Chik yang sudah berumur 84 tahun apabila saya meminta Puan Halimah menemukan saya dengan orang yang paling berpengalaman di kampung tersebut dalam bidang andaman atau  yang pernah menjadi juru andam.

Setibanya saya di rumah Tok Chik, beliau telah siap sedia untuk ditemuramah. Beliau menyediakan pelbagai bahan yang digunakan untuk tujuan berlimau dan berasah gigi Sepanjang sesi temuramah pada petang tersebut yang turut ditemuramah ialah Mek Limah yang juga bekas mak andam di kampung terbabit. Pada akhir sesi temuramah Tok Chik dan Mek Limah menyediakan beberapa bahan yang digunakan bagi tujuan adat berandam, berasah gigi dan berlimau namun menurut Tok Chik, bahan yang lain tidak dapat disediakan kerana beliau sudah lama meninggalkan bidang andaman. Namun begitu saya berpuas hati dapat menemuramah Tok Chik dan Mek Limah kerana saya dapat mengetahui tentang kajian yang saya kaji dengan lebih mendalam.

 

6.0 RUMUSAN

Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, mana-mana amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah ditinggalkan serta tidak diamalkan lagi. Amalan ini juga dipanggil sebagai adat. Pepatah melayu “Biar mati anak, jangan mati adat”, merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu masih mengamalkan beberapa adat untuk perkahwinan termasuklah berandam, berasah gigi dan berlimau. Mereka juga percaya bahawa adat yang diamalkan mereka mampu memberikan kenyakinan diri kepada pengantin juga dapat menaikkan seri mereka.

Tuntasnya, adat istiadat dalam masyarakat Melayu mencerminkan jati diri sesebuah bangsa tersebut. Seharusnya anak-anak muda pada zaman sekarang menghargai nilai-nilai yang ada dalam sesebuah adat tersebut termasuklah dalam adat perkahwinan. Hal ini kerana ia bukan sahaja memberikan kebaikan malah dapat memartabatkan kebudayaan Melayu pada masa akan datang. Masyarakat pada hari ini perlulah menghargai segala macam adat yang dimiliki dan diwarisi oleh nenek moyang dan turun-temurun kita agar warisan sebegini tidak akan ditelan arus permodenan.

7.0 BIBLIOGRAFI

Dewan Bahasa dan Pustaka (1992), Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga. Selangor Darul Ehsan : Dewan Bahasa dan Pustaka

Laman web Ashtech (2007) Adat Resam Melayu. Diperoleh pada Ogos 18, 2007 daripada http://www.ashtech.com.my/adat/mandiberlimau.html

Laman web Ashtech (2007) Adat Resam Melayu. Diperoleh pada Ogos 18, 2007 daripada http://www.ashtech.com.my/adat/berandam.html

 

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2007):Perkahwinan Tradisional Masyarakat Melayu. Diperoleh pada Ogos 19, 2007 daripada http://www.heritage.gov.my/kekkwa/viewbudaya.php?id=721

 

Perkahwinan Adat Melayu (2007). Diperoleh pada Ogos 19, 2007 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_resam_kahwin_Melayu#Mandi_limau

 

Direktori Malaysia (2007): Adat majlis perkahwinan Melayu. Diperoleh pada Ogos 20, 2007 daripada http://mizteryjw.blogspot.com/

 

Warisan Budaya Malaysia (2007): Adat Resam Masyarakat Melayu. Diperoleh pada Ogos 20, 2007 daripada http://malaysiana.pnm.my/01/01010204mel_nikah.htm

 

Comments (2) »

Bahan Berbantukan Komputer

 PENGHARGAAN

Bersyukur kami ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapat juga kami menyiapkan tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan walaupun terdapat banyak kekangan yang terpaksa dihadapi.

Dalam tugasan kumpulan ini, kami telah diminta untuk membina perisian berbantukan komputer untuk murid yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Kami bersepakat untuk memilih genre sajak yang bertajuk ”Surat Kepada Ayah” dan menghasilkan perisian yang berpusatkan murid untuk menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menarik serta berkesan.

Disini kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pensyarah kursus Pengajaran Apresiasi Karya Kesusasteraan Melayu (BSP 3063) iaitu Dr. Azhar bin Hj. Wahid kerana telah banyak membantu kami dalam menyiapkan tugasan ini dengan menjadi sumber rujukan dan membekalkan pelbagai bahan serta bimbingan dalam mempersiapkan tugasan yang telah diberikan.

Selain itu, ribuan terima kasih juga dihulurkan kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah banyak memberi dorongan, berkongsi pendapat serta bahan dalam memperlengkapkan lagi tugasan ini.

 

 Sekian, terima kasih.

 

 

1.0      BAHAN PENGAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER

Perkembangan yang pesat dalam penggunaan komputer dan teknologi multimedia menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui suatu anjakan paradigma. Penggabungan pelbagai elemen multimedia seperti teks, grafik, audio, video, animasi dan interaktif turut mewarnai proses pengajaran dan pembelajaran. Ia menjadi lebih menarik, memberangsangkan dan berkesan malah dapat dijalankan secara berulang-ulang meskipun tanpa kehadiran guru.

Perisian ini dibina untuk murid yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah ini dengan mengambil kira kesesuaian tajuk dengan sasaran pengguna dan penghasilannya juga dijalankan dengan menggunakan perisian Microsoft Office Power Point 2003, Windows Movie Maker dan Adobe Photoshop 7. Ketiga-tiga perisian ini digunakan kerana kerja-kerja pengubahsuaian grafik dan audio serta video lebih mudah dilakukan mengikut citarasa yang bersesuaian dengan kehendak penghasilan bagi memenuhi citarasa pengguna di peringkat sekolah menengah yang lebih memerlukan ilustrasi yang bersesuaian dengan isi pelajaran yang ingin disampaikan.

Perisian ini dihasilkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran secara interaktif yang nyata boleh memberikan kesan pembelajaran yang berbeza dan amat memberangsangkan murid di peringkat sekolah menengah. Ciri interaktif multimedia dalam perisian amat sesuai ke arah menyokong keupayaan ingatan manusia terutamanya bagi murid yang akan menempuh alam peperiksaan. Secara keseluruhannya, kepentingan projek ini adalah untuk murid dan menjadi panduan untuk guru sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, murid juga dapat meningkatkan lagi pemahaman tentang sesuatu topik dan secara tidak langsung ia dapat menarik minat untuk terus belajar serta mengelakkan rasa bosan murid.

Berikutan ini, masih terdapat penggunaan rujukan secara tradisional seperti buku dan papan hitam sepenuhnya sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dilakukan. Ini mungkin disebabkan kekangan dari segi kelengkapan fizikal dan perkakasan untuk menghasilkan modul pengajaran yang terkini. Kemungkinan juga, kemahiran guru dalam menguasai komputer masih berada pada tahap rendah dalam memanfaatkan penggunaan komputer di bilik darjah dengan optimum agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan. Komputer yang terdapat di sekolah sepatutnya bukan hanya digunakan untuk kerja-kerja rutin dan pentadbiran seperti pemprosesan perkataan dan penyimpanan data sahaja tetapi dilanjutkan penggunaannya di adalam aspek pengajaran dan pembelajaran. 

Perisian yang kami bina ini berpusatkan murid manakala guru hanya memilih dan mengatur bahan pembelajaran yang sesuai supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi menarik serta berkesan. Untuk menghasilkan perisian ini, kami telah merujuk kepada buku teks Kesusasteraan Melayu SPM “Bacalah Dalam Bahasamu Jilid B” untuk tingkatan 4 dan 5. Kami telah memilih genre sajak “Surat Kepada Ayah” karya  Azran Abdul Rahman. Seperti yang diketahui, sajak merupakan suatu bentuk pengucapan yang lazimnya digubah dengan pemilihan bahasa yang indah, berirama, dan mempunyai bentuk yang tersendiri. Kami telah memfokuskan kepada nilai kemanusiaan dan pengajaran yang terdapat dalam sajak ini ekoran daripada kajian kami terhadap teks ini yang sering keluar dalam peperiksaan. Hasil pembelajaran puisi ini perlu dicapai oleh murid dengan memahami maksud puisi dan menguasai aspek sastera yang dipilih iaitu nilai kemanusiaan dan pengajaran. Dengan perisian ini, murid dapat mengenal pasti aspek-aspek nilai kemanusiaan dan pengajaran dalam puisi tersebut dan dapat membandingkan antara nilai kemanusiaan dan pengajaran serta dapat menghubungkaitkannya dengan kehidupan seharian.

Perisian yang kami hasilkan ini juga, memberi keselesaan kepada murid kerana navigasi yang disediakan boleh menarik minat dan memudahkan murid memahami fungsi-fungsi navigasi tersebut selain perisian ini amat mesra pengguna. Navigasi yang disediakan juga membolehkan murid mengawal maklumat dan mengarahkan aplikasi perisian tersebut. Selain teknik persembahan perisian ini boleh mencungkil sikap positif terhadap diri sendiri dan berupaya menyelesaikan masalah secara kompleks.

Perisian ini sebenarnya adalah untuk penggunaan murid sepenuhnya dan guru sebenarnya dijadikan pembimbing untuk menerangkan panduan penggunaannya kepada murid. Justeru, kami telah mengambil inisiatif untuk merekabentuk sebuah perisian pembelajaran yang bersifat interaktif,  menepati  konsep falsafah pendidikan negara, serta mengaplikasikan strategi-strategi pembelajaran yang dicadangkan oleh teori pembelajaran.

 

 

2.0      OBJEKTIF

 

Objektif yang disasarkan untuk murid dari penghasilan perisian ini ialah:

Ø  Membantu murid memahami sajak “Surat Kepada Ayah” karya Azran Abdul Rahman dengan berbantukan video yang dihasilkan.

Ø  Meningkatkan lagi pemahaman murid terhadap nilai kemanusiaan dan pengajaran dalam sesebuah sajak.

Ø  Membantu murid mengenal pasti aspek nilai kemanusiaan dan pengajaran yang terkandung dalam puisi berkenaan.

Ø  Memberi penerapan dalam diri murid tersebut melalui hubungkait antara nilai kemanusiaan dan pengajaran dengan kehidupan seharian.

Ø  Menarik minat murid untuk mempelajari Kesusasteraan Melayu dengan penerapan elemen-elemen interaktif.

Ø  Meningkatkan kemahiran murid dalam pengendalian sesebuah perisian.

 Objektif yang disasarkan untuk guru dari penghasilan perisian ini ialah:

Ø  Sebagai panduan bahan pengajaran dan pembelajaran.

Ø  Meningkatkan kemahiran guru dalam pembinaan perisian.

3.0      SKOP

            Skop perisian ini memfokuskan pembelajaran nilai kemanusiaan dan pengajaran menerusi genre yang dipilih iaitu sajak “Surat Kepada Ayah”. Perisian ini dibina dengan mengambil kira huraian dan sukatan pelajaran Kesusasteraan Melayu peringkat sekolah menengah serta penerimaan dan pembelajaran murid-murid yang mengambil mata pelajaran tersebut. Perisian “Surat Kepada Ayah” ini terdiri daripada enam menu utama iaitu Puisi, Sinopsis, Definisi, Nilai Kemanusiaan, Pengajaran dan Latihan. Pada bahagian menu utama, murid dapat mengawal turutan adegan dalam satu-satu aplikasi pengajaran dan pembelajaran untuk berkomunikasi atau berinteraksi dengan perisian terbabit.

Dalam ruangan Puisi, kami telah menyelitkan puisi “Surat Kepada Ayah” melalui paparan video. Disini telah diselitkan dengan multimedia iaitu bacaan sajak, paparan teks serta beberapa grafik (imej). Seperti yang diketahui, multimedia merupakan kombinasi pelbagai media sama ada dalam bentuk kaku dan bergerak bagi membentuk satu program pengajaran secara formal. Kami telah menggunakan perisian Adobe Photoshop 7 untuk mengubah gambar yang dipilih dan seterusnya memasukkan gambar, bacaan sajak dan muzik latar ke dalam Windows Movie Maker. Ruangan Sinopsis pula memaparkan ringkasan sajak “Surat Kepada Ayah” dalam bentuk setiap rangkap untuk memudahkan lagi pemahaman murid terhadap puisi berkenaan. Dalam ruangan Definisi pula dipaparkan mengenai definisi nilai kemanusiaan dan pengajaran secara keseluruhannya manakala ruangan Nilai Kemanusiaan dan Pengajaran memerlukan pemerhatian yang lebih dari murid kerana pada kedua-dua ruangan ini terpapar nilai kemanusiaan dan pengajaran yang terdapat dalam sajak “Surat Kepada Ayah”.Projek ini turut menerapkan kemahiran penghayatan melalui ruangan Latihan yang disediakan. Pada ruangan ini dipaparkan lima soalan tentang nilai kemanusiaan dan pengajaran yang dipelajari dalam perisian ini dan turut disediakan panduan menjawab soalan dan terdapat navigasi pembayang untuk menjawab soalan berkenaan. Setiap jawapan betul akan diberikan 2 markah dan setiap jawapan yang salah akan diberikan 0 markah. Pada ruangan paparan “betul” dan “salah” terdapat beberapa animasi dan audio yang merangsang murid untuk meneruskan pembelajaran menerusi perisian ini. 

 

4.0      PEMBANGUNAN PERISIAN

Dalam membangunkan bahan pengajaran berbantukan komputer ini, kandungan perisian perlu dirancang dengan lebih teliti dan dihasilkan secara sistematik supaya bahan pengajaran dan pembelajaran ini bersifat mesra pengguna (user friendly), dapat difahami oleh murid dan kandungan yang dipilih adalah bersesuaian dengan mata pelajaran yang ingin diajar. Pada peringkat permulaan, kami menentukan kandungan dalam perisian dan ini termasuklah merujuk buku teks “Bacalah Dalam Bahasamu Jilid B” untuk tingkatan 4 dan 5. Perisian yang dibina juga perlulah menitikberatkan kehendak murid supaya murid dapat menggunakan dengan mudah dan bahasa yang digunakan hendaklah mudah difahami. Berikut merupakan ciri-ciri yang perlu dititikberat dalam pembangunan perisian ini:

  1. Antaramuka yang ramah pengguna (user friendly) dan menarik.
  2. Saiz teks yang mudah dibaca.
  3. Paparan teks yang sesuai dengan murid.
  4. Rekabentuk butang yang bersesesuaian dan menarik.
  5. Paparan grafik yang sesuai dan menarik.
  6. Animasi yang sesuai dan menarik.
  7. Audio yang jelas dan mudah dikawal.
  8. Arahan dan bahasa yang mudah difahami.

Dalam pembangunan perisian ini, pemilihan struktur navigasi juga penting untuk penerokaan susunan kandungan yang ingin disampaikan. Perisian ini menyediakan interaktiviti dan murid akan bebas mengawal interaktiviti (non-linear) yang disediakan untuk berinteraksi dengan komputer.

            Selain itu, menekanan terhadap penghasilan antaramuka pengguna, pemilihan butang atau ikon kawalan, penetapan ciri-ciri teks, grafik dan audio juga penting untuk menarik perhatian murid.

Teks (Font)

Teks merupakan salah satu elemen yang penting dalam menghasilkan bahan pengajaran berbantukan komputer. Teks membenarkan maklumat disampaikan kepada murid dengan berkesan dan lengkap. Sehubungan itu, penggunaan teks untuk menyampaikan maklumat dengan mengambil kira aspek warna teks, saiz, jenis teks (font) dan jarak di antara setiap baris teks  dan pemilihan tersebut perlu menepati serta bersesuaian dengan sasaran pengguna mahupun konsep yang digunakan dalam sajak “Surat Kepada Ayah” ini.

Audio dan Video

Audio atau bunyi lazimnya digunakan untuk memainkan suara, muzik atau kesan latar kepada perisian. Menerusi pembelajaran secara tradisional seperti penggunaan buku, papan tulis dan gambar rajah sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran, murid tidak berpeluang mendengar audio yang berkaitan dengan kandungan pelajaran. Bahan pengajaran ini telah dimuatkan audio latarbelakang yang beresuain dengan konsep bertujuan melahirkan keseronokan dan menarik minat murid untuk terus belajar, di samping itu video mengenai “Surat Kepada Ayah” juga dimuatkan untuk memberi kefahaman yang lebih kepada murid.

    Grafik (Imej)

    Grafik berkeupayaan untuk menyampaikan maklumat yang sekiranya disampaikan dengan teks akan memenuhi beberapa muka surat. Ia juga mampu menarik minat murid ke arah pembelajaran yang berterusan dan merupakan sumber tambahan ke arah membantu murid untuk memahami konsep yang dipelajari. Bagi bahan pengajaran ini, grafik yang digunakan bagi membantu pemahaman serta merangsang minda murid adalah elemen latar belakang yang menggambarkan beberapa imej seperti surat, kedua ibu bapa dan kejayaan. Elemen grafik memainkan peranan dalam memberi gambaran kejelasan konsep.

      Warna

      Elemen warna memastikan peranan yang penting bagi menarik minat murid menggunakan bahan pengajaran berbantukan komputer ini. Warna yang digunakan perlulah bersesuaian dengan citarasa murid dan juga untuk menggambarkan konsep, sebagai contoh warna latar belakang bahan pengajaran ini menggambarkan sesuatu yang usang, lama serta sedih dan ini bersesuaian dengan perasaan diri penulis surat yang sudah lama tidak berjumpa dengan keluarganya. Bagi tulisan pula, warna yang bersesuaian digunakan bagi memudahkan murid membacanya serta fokus pada apa yang dilihat. Pemilihan sejenis warna untuk butang navigasi supaya kelihatan selaras dengan persekitaran yang dibangunkan dan ini mengurangkan kekeliruan kepada murid. Keberkesanan penggunaan warna boleh mewujudkan komunikasi dan aspek estetika kepada bahan pengajaran yang dibina dan secara tidak langsung mewujudkan kepuasan murid.

        Animasi

        Penggunaan animasi dalam bahan pengajaran ini tidaklah begitu banyak kerana kami mengambil kira faktor penumpuan murid terhadap isi kandungan pelajaran yang ingin disampaikan. Animasi yang dimuatkan dalam bahan pengajaran ini hanyalah untuk mengurangkan tahap kebosanan murid bagi masa yang lama.

         

        Selain itu, pembinaan bahan pengajaran berbantukan komputer ini turut melibatkan aplikasi multimedia yang diperlukan berdasarkan konsep yang telah ditetapkan. Kami telah menggunakan perisian Microsoft Office Power Point 2003, Windows Movie Maker dan Adobe Photoshop 7 dalam penghasilan bahan pengajaran ini.

         

        Microsoft Office Power Point 2003

        Perisian ini merupakan perisian utama yang digunakan untuk penghasilan bahan pengajaran berbantukan komputer ini. Kemudahan perisian ini yang telah dilengkapi dengan beberapa fungsi-fungsi memudahkan murid untuk menggunakannya. Perisian yang dihasilkan ini juga berasaskan perisian Microsoft Office Power Point 2003 sepenuhnya termasukkan pautan butang (hyperlink), menyunting teks, memasukkan audio dan menyusun grafik.

         

        Adobe Photoshop 7.0

        Perisian ini digunakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian elemen grafik. Perisian ini dipilih kerana ia adalah versi yang boleh memudahkan kerja-kerja mengubah grafik kepada bentuk dan kesan yang dikehendaki.

         

        Windows Movie Maker

                    Perisian ini telah digunakan untuk menghasilkan video. Penghasilan video “Surat Kepada Ayah” adalah sepenuhnya menggunakan perisian ini. Elemen grafik dan teks serta audio yang dihasilkan telah dihimpun dan dimasukkan ke dalam perisian ini.

         

        5.0      PERKAKASAN DAN PERISIAN

        Berikut merupakan perkakasan dan perisian yang digunakan untuk membina bahan pengajaran berbantukan komputer ini, antaranya ialah :

        Ø  Perkakasan

        a)      Central Processing Unit (CPU)

        b)      Random AccessMemory (RAM)

        c)      Kad video dan kad bunyi

        d)     Papan kekunci

        e)      Tetikus

        f)       Monitor

        g)      Pembesar suara

        Ø  Perisian

        a)      Microsoft Office Power Point 2003

        b)      Windows Movie Maker

        c)      Adobe Photoshop 7

         

        6.0      KANDUNGAN PERISIAN

        Perisian “Surat Kepada Ayah” ini terdiri daripada enam kandungan iaitu Puisi, Sinopsis, Definisi, Nilai Kemanusiaan, Pengajaran dan Latihan. Murid boleh keluar terus dari perisian ini dengan menekan butang navigasi “EXIT” dan murid juga boleh mengikuti bahan pengajaran ini dari awal dengan menekan butang navigasi “MENU”.

         

        PUISI

        Murid akan dihidangkan dengan paparan video bacaan sajak besertakan grafik, teks dan audio dalam ruangan puisi. Sajak “Surat Kepada Ayah” karya Azran Abdul Rahman.

         

        Ayahanda,

        hari ini kuterima suratmu

        gembiranya hati mendapat berita

        keluarga kita sihat semua.

        Syukur,

        anakanda di sini

        tidak kurang apa-apa

        kawan-kawan banyak di asrama

        semuanya baik-baik belaka.

        Anakanda tidak akan lupa

        semua nasihat dari ayahanda

        kita memang bukan orang berada

        hanya kaya budi bahasa

        percayalah ayahanda

        anakanda tidak akan lalai

        pelajaran tetap anakanda utamakan.

        Sekian dahulu kali ini

        salam untuk ayahanda dan bonda

        salam juga untuk adik-adik tercinta.

         

        SINOPSIS

        Dalam ruangan sinopsis pula, murid akan dapat melihat sinopsis sajak yang mereka pelajari. Berikut merupakan sinopsis sajak “Surat Kepada Ayah” yang terdapat dalam perisian ini. Sinopsis sajak ini boleh didapati dalam setiap rangkap.

        Rangkap 1 

        Ø  Penyajak memberitahu ayahandanya bahawa dia telah menerima surat daripada ayahandanya. Dia gembira kerana semua ahli keluarganya dalam keadaan sihat.

        Rangkap 2 

        Ø  Penyajak melahirkan rasa syukur kerana kehidupannya di asrama sempurna segalanya. Di situ dia mendapat kawan-kawan yang baik.

        Rangkap 3 

        Ø  Penyajak tidak melupai nasihat ayahandanya bahawa mereka bukanlah orang kaya, yang ada pada mereka hanya budi bahasa. Penyajak berjanji akan mengutamakan pelajaran.

        Rangkap 4

        Ø  Dalam suratnya, penyajak menyampaikan salam untuk semua ahli keluarganya.

         

        DEFINISI

        Pada laman definisi pula, akan tertera paparan mengenai maksud nilai kemanusiaan dan pengajaran dalam sajak. Definisi yang dimaksudkan disini ialah definisi nilai kemanusiaan dan pengajaran yang terkandung dalam sajak “Surat Kepada Ayah”. Berikut merupakan definisi nilai kemanusiaan dan pengajaran dalam konteks sesebuah sajak :

        Definisi Nilai Kemanusiaan

        Ø  Nilai hidup murni, positif, luhur.

        Ø  Tindakan, sikap, pandangan hidup watak-watak mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan yang cuba diterapkan oleh pengarang kepada pembaca.

         Definisi Pengajaran

         

        Ø  Dikenali juga sebagai mesej, amanat, atau unsur deduktif.

        Ø  Kesan pengajaran didapati daripada keseluruhan cerita dan perwatakan watak.

        Ø  Pengajaran biasanya dapat dikesan dalam bentuk “ yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan” 

         

        NILAI KEMANUSIAAN

        Nilai kemanusiaan dalam sesebuah karya sering ditonjolkan untuk menggambarkan sikap positif watak. Antara nilai kemanusiaan yang terkandung dalam sajak “Surat Kepada Ayah” ialah:

        Ø  Gembira dengan kesihatan keluarga.

        Ø  Bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang baik.

        Ø  Mentaati segala nasihat ayah.

        Ø  Mendoakan kesejahteraan keluarga.

        Ø  Bertekad akan belajar bersungguh-sungguh. 

        PENGAJARAN

                    Pengajaran yang terdapat dalam sesebuah karya mampu memberikan kesan dalam diri pembaca. Berikut merupakan pengajaran yang terdapat dalam sajak “Surat Kepada Ayah” karya Azran Abdul Rahman :

        Ø  Kita perlulah bersyukur apabila mempunyai kawan-kawan yang baik.

        Ø  Kita hendaklah mentaati segala nasihat ayah dan ibu untuk kebaikan sendiri.

        Ø  Kita mestilah sentiasa mendoakan kesejahteraan setiap ahli keluarga kita.

        Ø  Kita perlulah menjaga tingkah-laku walaupun keadaan keluarga kita yang serba kekurangan.

         

         

        LATIHAN

                    Sebelum murid menjawab soalan yang diberi, murid akan dibekalkan dengan beberapa panduan untuk menjawab soalan. Diantara panduannya ialah :

        Ø  Klik pada nombor soalan di sebelah

        Ø  Klik butang pembayang untuk pembayang jawapan kepada soalan

        Ø  Setiap jawapan yang betul akan mendapat 2 markah

        Ø  Setiap jawapan yang salah akan mendapat 0 markah

        Ø  Klik butang pembayang untuk mengelakkan kesalahan jawapan

        Selamat mencuba!!!!!

        Seterusnya tertera paparan nombor soalan dan murid boleh memilih sama ada mereka ingin menjawab soalan secara berturutan mahupun tidak.

        Pada setiap nombor soalan yang dipilih oleh murid akan disertakan dengan pembayang jawapan kepada soalan tersebut. Murid boleh memilih sama ada ingin menggunakan pembayang mahupun tidak. Dan sekiranya jawapan yang diberikan oleh murid tersebut salah, maka mereka diberi peluang untuk menjawab sekali lagi dengan menggunakan pembayang yang diberi. Setiap jawapan yang betul akan diberikan 2 markah manakala setiap jawapan yang salah pula akan diberikan 0 markah.

         

        SOALAN 1

        Apakah definisi pengajaran yang terdapat dalam puisi?

        A) Dikenali juga sebagai mesej, persoalan, atau unsur induktif

        B) Kesan pengajaran didapati daripada keseluruhan cerita dan perwatakan watak.

        C) Pengajaran biasanya dapat dikesan dalam bentuk keindahan bahasa dan latar tempat

        D) Didapati pada baris pertama puisi

        SOALAN 2

        Anakanda tidak akan lupa

        semua nasihat dari ayahanda

        kita memang bukan orang berada

        hanya kaya budi bahasa

        Apakah nilai yang terdapat dalam petikan di atas?

        A)  Tidak lupa budi bahasa

        B)  Menyayangi keluarga yang jauh

        C)  Mentaati segala nasihat ayah

        D) Menjadi orang berada

         

         SOALAN 3

        Antara berikut, yang  manakah menunjukkan nilai kemanusiaan yang terdapat pada diri ayahanda?

        A) Sentiasa menasihati anaknya

        B) Sentiasa  mementingkan kekayaan

        C) Sentiasa mempunyai ramai kawan-kawan

        D) Seorang  yang berpendidikan tinggi

         

        SOALAN 4
        Pengajaran yang ingin ditonjolkan dalam sajak surat kepada ini adalah?

        A) Kita mestilah cemburu apabila mempunyai kawan-kawan yang cerdik.

        B) Kita mestilah berkelakuan seperti orang berada untuk melupakan kesedihan.

        C) Kita tidak perlu  menghiraukan kesejahteraan setiap ahli keluarga apabila kita berada

             jauh.  

        D) Kita mestilah mentaati segala nasihat ayah dan ibu untuk kebaikan sendiri.

        SOALAN 5
        Kenapa nilai kemanusiaan dan pengajaran penting dalam sesebuah sajak?

        A) Supaya pembacaan sajak menjadi lebih menarik

        B) Memberikan kesan mendidik kepada diri pembaca

        C) Menimbulkan minat untuk menulis sajak

        D) Menyampaikan mesej untuk menjadi seorang  yang kaya raya

         

        7.0      RUMUSAN

        Perisian yang dihasilkan amat sesuai untuk proses pembelajaran zaman moden. Hal ini kerana konfigurasi yang tersedia boleh meningkatkan kefahaman dan pengetahuan murid disamping kemudahan yang terdapat pada perisian itu sendiri yang mesra pengguna dan boleh berdiri sendiri, memudahkan murid untuk terus berinteraksi dengan perisian tersebut.

         Sejajar dengan arus kemodenan sekarang, seharusnya komponen pendidikan secara tradisional dielakkan kerana ianya berpusatkan guru iaitu pelajar hanya mendengar dan menerima isi pelajaran dan bahan penggunaan pelajaran terbatas dengan penggunaan papan tulis dan buku sahaja.

        Tidak dapat dinafikan, komponen pendidikan secara tradisionallah yang melahirkan ramai cendiakawan sekarang namun situasi pada ketika itu amat berbeza dengan situasi sekarang dimana murid pada zaman ini kurang berminat untuk belajar. Di sinilah kita sebagai seorang guru harus mempersiapkan diri dengan komponen pendidikan secara pengajaran berbantukan komputer waima mata pelajaran yang diajar hanyalah sekadar menulis. Bahan pengajaran berbantukan komputer ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti guru dalam penyediaan bahan tersebut malah dapat menjadikan pengajaran dan pembelajaran bertambah menarik serta lebih berkesan.

        Pembelajaran secara interaktif juga dapat memberi input yang positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selain menjimatkan masa, penggunaan secara interaktif juga boleh mencungkil kreativiti yang terdapat dalam diri murid disamping dapat membina keberanian untuk meneroka isi pelajaran.

         

         

         

         

         

         

         

         

         

         

        Leave a comment »